30 April 2009

Buku Berulat-Ulat

Assalamualaikum w.b.t.

Huh..
Pada hari Sabtu yang amatlah memenatkan lalu, saya berjaya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur lagi sekali untuk membeli lagi beberapa buah buku. Sungguh sesak keadaan lalu lintas di PWTC pada hari itu menyebabkan saya takut dan kurang bebas untuk bergerak. Jadi, hanya inilah buku-buku yang telah berjaya saya beli.


Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain

Salahudin Ayubi Penakluk Jurusalem

Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel


Terima kasih kepada pihak PTS Publications kerana membuat tawaran diskaun sehingga 25% kepada pelajar-pelajar seperti saya. Harap-harapnya pengedar-pengedar buku lain juga tidak keberatan untuk menawarkan diskaun seperti ini di lain masa.

Sedang-sedang menanti kawan-kawan di PWTC itu, saya ternampak beberapa sahabat-sahabat saya dari Gombak sedang mempromosikan tentang Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis. Sungguh bersemangat mengedarkan flyers kepada orang ramai. Pabila kawan-kawan saya muncul di tempat kejadian, dengan kami sekali mengedarkan flyers tersebut. Penat juga, tetapi saya berasa seronok kerana dapat menyebarkan tentang konvensyen ini kepada masyarakat. Tetapi tak larat saya menjadi kauter pertanyaan pengunjung-pungunjung pestabuku ini. "Adik, surau ka mane?", "Bro, kat mane toilet erk?" dan bermacam-macam dialog lagi yang kedengaran di gegendang telinga saya pada hari tersebut. Sedangkan saya sendiri 'sesat-sesat ayam' di pestabuku tersebut, inikan pula hendak membantu pengunjung lain. Hee.. Tapi yang mane saya tahu tu, saya bantulah juga.

Di kesemapatan ini, saya nak mempromosikan lagi sekali KONVENSYEN BERAKHIRNYA AGENDA ZIONIS ini kepada semua. Bagi yang berminat, pendaftaran dan maklumat lanjut boleh didapati di www.kbaz.net





Maaf juga dipinta kerana masih tiada masa untuk menulis tentang buku-buku yang telah saya baca. Alhamdulillah, beberapa buah buku yang telah dibeli sudah habis dibaca tetapi masih tiada kesempatan untuk berkongsi dengan anda semua.

Wassalam. .

27 April 2009

Kita Pemuda Kahfi Itu

Assalamualaikum w.b.t.

Sedang merayau-rayau dari blog ke blog, saya terjumpa sebuah artikel yang amat bersesuaian dengan isu yang sedang hangat di minda saya ketika ini; Pemuda.



Kita Pemuda Kahfi Itu


Ketika alam mula gersang dari pancaran Nur Ilahi yang di bawa oleh para Rasul dan anbiya, peradaban manusia pula semakin jatuh ke darjah kebinatangan, dibangkitkan lagi buat kali terakhirnya seorang Utusan yang membawa rahmat untuk semua. Di celah keributan akhlak dan budaya jahiliyah di sekitar pusat graviti bumi bernama Mekah lahirnya Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam Rasul Agung. Proses tarbiyah yang berasaskan tauhid ini akhirnya telah berjaya mengubah sebuah masyarakat Arab yang jahil kepada sebuah bangsa yang mampu menguasai Rom dan Parsi. Ini semua tidak akan dapat berlaku melainkan dengan usaha para pendakwah Islam yang telah berusaha menyampaikan cahaya Islam yang memberi ketenangan kepada seluruh umat Islam.

Tidak kurang hebatnya pada zaman mereka pemuda kahfi sepertimana yang telah diceritakan Allah dalam kitabnya berbunyi:-

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.Dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?[ Al-Kahf:13-15]

Diselebungi kesesatan nyata, kegelapan jahiliyah, keterpesongan akidah dikalangan masyarakat pemuda-pemuda tersebut amatlah hebat. Akan tetapi, mereka sedar fitrah kemanusiaan yang terdapat dalam jiwa sanubari mereka itu hanya dapat menolak akan tipu helah dunia yang seolah-olah tidak menepati dengan fitrah kejiwaan seseorang manusia.


Bagaimana dengan kita sebagai pemuda zaman kini?Ini zaman yang dipenuhi dengan cabaran dan penuh tipu helah. Bahkan,ia lebih hebat daripada yang terdapat pada zaman Rasullulah dan orang-orang soleh yang terdahulu.Tidak dapat disangkal,mereka telah melalui rintangan yang lebih perit daripada kita secara fizikal dan mental.Akan tetapi zaman ini telah mengubah dunia yang luas ini menjadi sempit,yang baik itu buruk dan sebaliknya.Kita hidup dalam gerigi besi penjara yang dibina dari kepulauan Jepun sehingga merentasi berbagai-bagai benua dan sampai ke negara Uncle Sam.Pemuda-pemuda seperti kita dirobek akal pemikiran menjadikan kita seperti anjing yang tidak membawa manfaat sekalipun di pandangan musuh-musuh ISLAM.Alangkah hinanya.

Formulanya terletak pada diri kita sendiri kerana Allah tidak mengubah sesuatu perkara melainkan kita yang mengusahakannya bukan?Pemuda hari ini perlu tulus dalam mencari kebenaran Islam yang syumul.Untuk itu,tarbiyah Islam seperti usrah dapat membimbing kita di samping perlunya pada keberanian bersikap optimistik dan harus berani menghadapi risiko dalam mencari kebenaran.Dengan kebenaran yang agung ini,kita bakal menyinari dunia ini khususnya tanah air Malaysia ini dengan cahaya yang lebih terang dari matahari sepertimana yang dilakukan pada era Sahabat dan ashabul Kahfi dalam mempertahankan iman mereka.

Bersama-samalah kita menjadi pemuda-pemudi kahfi alaf ini.

Disediakan oleh: JK Media KRIM Shah Alam Klang

~Sumber:
Laman Blog Kelab Remaja Isma(KRIM) Shah Alam Klang,
krimsak.blogspot.com

25 April 2009

Buku Berulat

Assalamualaikum w.b.t.



Pada hari Selasa yang ceria lalu, saya telah berpeluang untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Di situ, rambang mata saya dibuatnya melihat banyaknya buku-buku yang mencurah-curah seperti di bla bla bla... Ops, bukan nak cerita tentang diri saya, tetapi ingin berkongsi dengan anda semua buku-buku yang telah saya beli.


Tariq-Menang Ataupun Mati Syahid


Jatuhnya Sebuah Tamadun


Apa Itu Al-Quran?


Apa Itu Ilmu Hadis?


Rindu Bau Pohon Tin


Bercinta Sampai Ke Syurga


InsyaAllah, jika diberikan peluang saya akan menghuraikan setiap buku-buku di atas dalam posting-posting yang akan datang. Doakan saya dapat menghabiskan buku-buku tersebut secepat mungkin kerana mengikut perancangan, saya akan membeli buku-buku baru pada hari terakhir Pesta Buku pada hari Ahad ini.


Pada yang masih tidak singgah ke Pesta Buku ini, rugi woo… Macam-macam ada…Banyak diskaunnnn!!


“Baca buku baca buku,

Buku dibeli untuk dibaca,

Baca buku baca buku,

Buku dibeli poket ternganga.”

Tak paham?? Paham-pahamkanlah….

(Eqwan, pasni mu kene ajar buat poem la..huhu..)


Wassalam..

Pemuda oh Pemuda 2

Assalamualaikum w.b.t.


Pemuda oh pemuda…

Saban hari dan saban waktu, kita dihidangkan dengan masalah-masalah pemuda yang tidak pernah agaknya akan selesai. Walaupun macam-macam yang telah dilakukan, lagi bermacam-macamlah masalah yang melibatkan pemuda berlaku.


Persoalannya, mengapa pemuda di zaman ini tidak sedikit pun sama dengan pemuda di zaman Rasulullah s.a.w. dahulu?


Jika diimbas kembali kepada sirah dahulu, apakah yang dimiliki oleh seorang kanak-kanak semuda 10 tahun seperti Ali b Abu Talib r.a. yang boleh memikirkan tentang kebesaran Allah s.w.t., kerosakan akhlak kaum Quraisy, dan lain-lain lagi lantas membuatnya memeluk Islam? Apakah yang dimiliki oleh kanak-kanak berusia 13 tahun seperti Zaid b Tsabit r.a. yang bersungguh-sungguh hendak sama berjuang di medan Badar? Apakah pula yang dimiliki oleh pemuda berusia 18 tahun seperti Usamah b Zaid r.a. sehingga beliau dilantik mengetuai satu gerombolan perang yang di dalamnya terdiri dari sahabat-sahabat lain yang lebih senior? Apakah pula yang dimiliki oleh Mus’ab b Umair r.a. hinggakan sanggup meninggalkan kemewahan hidupnya demi untuk menyebarkan Islam di bumi Yathrib(Madinah)?


Berapa banyak punya apakah daa…


Apakah ?? Apakah harta yang banyak ? Apakah rupa yang tampan ? Ataupun apakah pengaruh yang mereka ada?


Tidak. Mereka hanya punya Islam dalam diri mereka. Saya ulangi lagi sekali, Islam.

So, apa bezanya pemuda kita sekarang dengan pemuda zaman dulu? Diorang pun Islam jugak.” ; Mungkin akan ada yang memikirkan begini bukan?


Ya, memang pemuda sekarang pun ada Islam juga, tapi sekadar di dalam kad pengenalan sahaja tercatat perkataan Islam di bawah gambar kita sebelah kiri. Namun hakikatnya, kehidupan pemuda kita sekarang amat jauh dari Islam yang sebenarnya.


Islam menurut pandangan pemuda zaman sekarang


Umat pemuda zaman sekarang hanya diprogrammekan untuk memperoleh A1 dalam SPM matapelajaran Pendidikan Islam. Islam hanya tinggal teori. Solat hanyalah pada hari Jumaat, itupun kadang-kadang ponteng. Bulan Ramadhan hanya tinggal berbuka puasa dengan kawan-kawan di restoran, itupun tidak semuanya yang hadir berpuasa. Maulidur Rasul hanya tinggal perarakan di sekolah dengan tujuan bertangkap gambar berbaju melayu dan kurung dengan pasangan masing-masing, itupun kalau tidak ponteng sahaja hari tersebut. Pemuda yang berasal dari sekolah agama sekalipun tidak semuanya boleh dipercayai. Apatah lagi yang lahir dari Universiti-universiti Islam, ada juga yang menjadi kaki-kaki clubbing di kelab-kelab malam.


Inilah hakikat yang tidak boleh kita nafikan. Walaupun dikelilingi suasana Islam sekalipun, namun pemuda kita tetap sama seperti itu. Tetap menganggap Islam itu hanya sebagai perhiasan, jika nak dipakai, pakai. Jika tidak, buang sahajalah.


Solusinya???


Penyelesaiannya mudah sahaja, iaitu Islam itu sendiri.


Segala jenis masalah yang melanda pemuda zaman sekarang ada penawarnya dalam Islam itu sendiri. Tidak perlulah ditambah matapelajaran Pendidikan Sivik ape ntah jika matapelajaran Pendidikan Islam sekalipun tidak dapat membentuk pemuda bercorakkan Islam.


Islam yang dimaksudkan bukan subjek Pendidikan Islam, tetapi hakikat Islam itu sendiri. Islam yang membawa manusia keluar dari lubang-lubang kebodohan(jahiliah) kepada cahaya yang membawa kejayaan di dunia dan akhirat. Islam yang telah jelas mampu menyelamatkan manusia dari segala jenis masalah akhlaknya.


Pemuda oh Pemuda….


“….sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah….”

(Al-Baqarah,2 : 256)


Kepada pemuda sekalian, saya menyeru diri saya sendiri dan pemuda sekalian(macam kahtib khutbah jumaat pulak), supaya kita sama-sama memartabatkan kedudukan Islam dalam diri kita sendiri. Jalan yang benar telah terbentang luas di hadapan kita, hanya menanti kita memilihnya sahaja. InsyaAllah, jika kita memilih jalan yang benar, Islam dapat kembali gemilang seperti suatu masa dahulu. Menguasai dua pertiga dunia dan menguasai segala jenis cabang ilmu di muka bumi ini. Lebih daripada itu, kita akan mendapat kejayaan besar di hari akhirat nanti.


Tinggalkan ideologi yang hanya menghadirkan Islam ketika Solat Jumaat, bulan Ramadhan, perarakan Maulidur Rasul dan lain-lain lagi. Ketahuilah, bahawa Islam itu amatlah luas mencakupi segala jenis aspek dalam kehidupan. Daripada bangun tidur, mandi, makan, belajar, bermain, bersembang dan segalanya. Hendaklah kita memastikan yang semuanya dilakukan dalam konteks kita sebagai seorang Islam.


Pertama sekali, timbulkan perasaan mahu dan hendak pada agama Islam itu sendiri lantas akan membuatkan kita suka dan senang mempelajari tentang Islam.


Tunggu apa lagi ??

Ayuh pemuda!! Timbulkan kesedaran !! Kembalilah ke jalan Islam yang menyeluruh !!


p/s-Lagi sekali nak ingatkan, saya pun pemuda jugak.....


Wassalam.

18 April 2009

Pemuda oh Pemuda

Assalamualaikum w.b.t.


Pemuda oh pemuda....

Mat Rempit, blackmetal, rancangan realiti television, shuffle, pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, merogol, merompak, berzina, buang anak luar nikah, dan segala macam lain lagi perbuatan-perbuatan terkutuk ini terkait secara lansung dengan pemuda negara kita hari ini. Apekejadahnya semua ini? Bukankah sudah diajar dan dididik oleh guru-guru semasa di bangku persekolahan?? Bukankah sudah dirancang bermacam-macam lagi aktiviti untuk pemuda(PLKN, Satu Suara, Rakan Muda dll) demi mengajak pemuda mengenal erti kehidupan?? Tapi hakikatnya pemuda negara kita makin teruk, makin hanyut, makin sayup. Persoalannya, kenapa????

Emm, mesti semua orang ada pendapat masing-masing bukan? Tinggalkan seketika masalah pemuda zaman kita ini, mari kita mengkaji semula peribadi seorang sahabat Rasululah s.a.w. iatu Muadz b Amr r.a..


Muadz b Amr r.a.

Beliau merupakan seorang pemuda Ansar yang berasal dari Madinah. Semasa Peperangan Badar berlansung, beliau juga turut sama dalam saf tentera Islam bagi menentang tentera musyrikin Quraisy.


Sebelum peperangan berlansung, beliau selalu mendengar perihal Abu Jahal yang selalu menghina Rasulullah s.a.w. ketika Rasulullah s.a.w. belum berhijrah ke Madinah. Atas sebab inilah, beliau menyimpan nekad untuk membunuh Abu Jahal dengan tangannya sendiri.


Badar al-Kubra

Semasa Perang Badar berlansung, beliau berjaya mengenalpasti insan yang bernama Abu Jahal setelah bertanya kepada Abdul Rahman b Auf r.a.. Ketika itu, Abu Jahal dikelilingi oleh bodyguard-bodyguardnya yang gagah-gagah semuanya. Dipendekkan cerita, dengan semangat jihad yang tinggi, beliau berjaya memecahkan pertahanan bodyguard Abu Jahal lantas menghayun pedangnya ke arah Abu Jahal. Beliau berjaya memotong betis Abu Jahal dengan hayunan pedangnya itu.


Tetapi, dengan tidak semena-mena Ikrimah b Abu Jahal r.a.(yang ketika itu masih belum menganut Islam) meluru pantas ke arah Muadz lantas mencantas tangan Muadz. Hanya secebis kulit sahaja dari tangannya yang masih tergantung pada badannya. Adakah Muadz akan berpatah balik?? Ataupun dia akan menyerah diri?? Tidak sama sekali. Diceritakan dari dirinya sendiri, pergerakannya terbatas disebabkan oleh tangannya yang tergantung itu. Lantas beliau meletakkan tangannya yang hampir putus itu di bawah kakinya lalu diinjak-injakkan sehingga putus betul.

Putus!! Dengan ini, pergerakannya tidak lagi terbatas disebabkan tangannya yang tergantung itu.


Dan untuk pengetahuan anda semua, ketika kejadian ini Muadz b Amr, adalah seorang pemuda yang baru berumur 14 tahun. Ya!! 14 tahun.


Akal kita lantas mengatakan; "Mudanya!!" Ya, pemuda zaman Rasulullah s.a.w. dahulu bukan semestinya berumur 18tahun ke atas. Setelah sahaja akil baligh, seseorang itu sudah layak bergelar pemuda.


Pemuda Sekarang

Umur 14 tahun sekarang kita baru melangkah ke tingkatan 2. Dalam kepala, hanyalah memikirakan tentang handphone, makwe/pakwe, playstation, games, main bolasepak(bagi kebanyakan lelaki), dan tidak kurang juga yang pernah 'ringan-ringan' dengan pasangan haram masing-masing pada usia ini.


Haisyh, pemuda oh pemuda...


Jadi, apakah punca yang menyebabkan kebanyakan pemuda zaman sekarang, tidak sama sedikit pun dengan pemuda zaman Rasulullah s.a.w.??


Nantikan jawapannya menurut pandangan saya pada post siri kedua Pemuda oh Pemuda nanti.


~hmm.. saya pun pemuda juga.. hee...


Wassalam.


Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis


PWTC, Kuala Lumpur: Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) akan menganjurkan Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis bertempat di sini, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Seminar sehari ini menyaksikan kehadiran panel-panel hebat yang dijemput khas dari luar dan dalam negara. Butiran lanjut tentang Konvensyen ini adalah seperti berikut.


Hari/Tarikh: Sabtu/9 Mei 2009
Masa: 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat: Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC)
Penyertaan: RM 10.00

PEMBENTANG:
Dr.Mohsen Saleh
Pengarah Institute of Islamic Political Thought (IIPT), London
Dr.Azzam al-Tamimi
Pengarah Besar, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Az-Zaytouna, Lubnan
Dr.Roslan b Mohd Nor
Penerima Anugerah Akademik Institut Al-Makhtoum 2003 & 2006
PhD in 'Islamic Jerusalem Studies', Aberdeen University Scotland

ATURCARA KONVESYEN
8.00 - 8.30 PAGI: Pendaftaran Peserta
8.30 - 9.30 PAGI: Pembentangan 1 - Dr. Roslan bin Mohd Nor
(Kejatuhan Islam dan Kewujudan Negara Israel)
9.30 - 10.00 PAGI: Kehadiran VVIP dan VIP
Ucapan Alu-aluan - Ustaz Abdullah Zaik b Abd Rahman
(Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Sdn Bhd)
Ucapan Perasmian - Menteri di Jabatan Perdana Menteri
10.45 - 11.00 PAGI: Jamuan VVIP dan VIP dan jamuan ringan peserta
11.00 - 12.00 TGH: Pembentangan 2 - Dr. Azzam al-Tamimi
(Sejauh Manakah Kesan Kewujudan Zionis pada Dunia Sejagat)
12.00 - 1.00 TGH: Pembentangan 3 - Dr. Mohsen Saleh
(Hakikat Zionis dan Agenda yang Dipropagandakan)
1.00 - 2.00 PTG: Rehat, makan dan solat
2.00 - 3.00 PTG: Pembentangan 4 - Dr. Azzam al-Tamimi
(Peranan Seorang Muslim dalam Menghadapi Musuh Zionis)
3.00 - 4.00 PTG: Pembentangan 5 - Dr. Mohsen Saleh
(Kebangkitan Islam di Palestin dan Status Agenda Zionis Masa Kini)
4.00 - 5.00 PTG: Majlis Penutup
Ucapan Penangguhan - Dr. Kamil Azmi Tohiran
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Maklumat lanjut, layari www.kbaz.net

Penulis

Nama penulis adalah Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi. Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 20 Mac 1990 dan dibesarkan di Taiping, Perak.

Bersekolah di SK Seri Aman(1997-2001), dan SMK Taman Tasik(2002-2006), keduanya di Taiping, Perak. Melanjutkan pelajaran di Koleh Matrikulasi Perak(2007) dalam jurusan Sains Fizikal untuk hanya tempoh satu bulan sebelum ke Centre for Foundation Studies IIUM(Pusat Asasi UIAM), Petaling Jaya(2007-2009) dalam jurusan Asasi Kejuruteraan. Sekarang sudah berada di UIAM, Gombak(2009-kini) mengambil jurusan Electronics - Computer & Information Engineering.

Blog peribadi, berdasarkan kepada pemerhatian pada keadaan sekeliling. Sebarang kesalahan, diharap diberi tunjuk ajar.

Terima kasih kerana melawat, semoga bermanfaat.

17 April 2009

Revolusi Bermula...

Assalamualaikum w.b.t.

Setelah sekian lama memendam rasa nak buat sebuah blog, maka pada hari ini dengan rasminya saya telah mempunyai sebuah blog sendiri. Saya merupakan seorang remaja lelaki beragama Islam yang sedang menuntut di sebuah universiti di ibu kota. Merupakan seorang yang selama ini hanya menjadi pemerhati terhadap perkara sekeliling.

Tujuan saya menulis blog hanyalah untuk meluahkan isi hati yang sekian lama terpendam. Selama ini, saya asyik menjadi pemerhati, selalu hanya mendiamkan diri. Dengan adanya blog ini harapnya saya tidak lagi hanya memendam perasaan. Dan semestinya tulisan-tulisan saya ini tidak lain tidak bukan sebagai peringatan kepada diri sendiri dan rakan-rakan lain.

Saya merasakan banyaknya perkara yang perlu saya kongsi dengan rakan-rakan. Oleh sebab itu saya merasakan melalui penulisan dalam bloglah yang mungkin dapat merealisasikan keinginan saya.

Dan sebagai pengetahuan semua, kandungan dalam blog saya ini nanti akan datang dari pelbagai sumber, mungkin hanya copypaste dari blog-blog lain(akan disertakan linknya) atau pun penulisan bebas dari saya sendiri; insyaAllah penulisan saya nanti akan diselarikan mengikut syarak.

Dan jangan segan silu meluahkan pendapat anda semua bahkan anda digalakkan menegur sekiranya ada sebarang penulisan saya yang didapati salah dan sebagainya. Tunjuk ajar dan teguran anda amatlah diharapkan.

Ini saja untuk pendahuluan.
Terima kasih. Jumpa lagi.

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP