26 May 2009

Islam, Malaysia dan Surat Khabar

Assalamualaikum w.b.t.


Huh, cuti oh cuti. Cuti kali ini benar-benar menguji tahap kebosanan saya ke satu tahap yang melampau. Cuti juga menguji tahap istiqamah saya dalam setiap perkara, termasuklah juga dalam mengupdate blog saya ini. Alhamdulillah, dalam keadaan ‘malas-malas ayam’ ini, dapat juga saya merajinkan diri menaip sesuatu untuk dipamerkan dalam blog ini.


Antara hobi saya di kala cuti ini ialah membaca surat khabar. Untuk pengetahuan anda, atok saya merupakan pembeli rasmi akhbar Utsan Malaysia. Walaupun akhbar ini berat sebelah, namun atok saya mempunyai nilai sentimental dengan akhbar ini, mungkin kerana pentingnya akhbar ini suatu ketika dahulu tika mereka berjuang mendapatkan kemerdekaan. Entahla..


Manchester United vs Barcelona


Pertama sekali pasti bahagian sukan yang akan saya buka. Di bahagian sukan, tidak lain dan tidak bukan isu yang sering diketengahkan ialah isu perlawanan akhir antara Manchester United dan Barcelona. Bukan niat saya ingin mengulas lanjut tentang perkara ini. Masing-masing ada ramalan masing-masing. Cuma saya hanya ingin mengingatkan kepada penonton-penonton tegar bolasepak agar tidak meninggalkan Solat Subuh hanya kerana semalaman tidak tidur mengadap bola. Juga disarankan agar tidur awal pada pagi tersebut dan berqiamulaillah sebelum perlawanan bermula.


Isu semasa yang hendak saya kongsikan hari ini adalah berkaitan dengan keadaan tanah air kita sekarang. Saya bukanlah pakar dalam bidang pengurusan negara, jadi saya amat alu-alukan pandangan daripada pembaca sekalian.


Semenjak dua ini rakyat Malaysia sudah semakin rajin berhimpun, berbeza dengan remaja-remaja sekolah yang selalunya ponteng semasa perhimpunan. Harap-harapnya remaja yang terlibat dapat mengambil ikhtibar daripada semangat berhimpun yang telah ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia.


Gambar hiasan



Perhimpunan Hitam Berlilin


Apakah Perhimpunan Hitam Berlilin ini? Demontrasi ini merujuk kepada perarakan jalanan yang telah dilansungkan di Ampang Jaya, Khamis lalu. Pesertanya digalakkan memakai pakaian serba hitam dan membawa sama sebuah(salah penjodoh lagilah) lilin. Perhimpunan ini dikategorikan sebagai haram oleh pihak berkuasa. Namun yang menjadi tanda tanya saya ialah, apakah perlunya kita meniru budaya masyarakat Kristian dan Barat yang membawa lilin setiap kali berarak?? Mufti telah memberikan pandangan mereka. Pelik, sungguh pelik. Harap-harapnya tidak ada penganut Islam yang turut sama berarak dengan lilin pada Khamis lalu. Disebabkan perarakan haram ini, seorang ADUN dari Pakatan Rakyat ditahan oleh polis.


Perhimpunan Peduli Tamil


Antara hadirin yang hadir ke Perhimpunan Peduli Tamil


Perhimpunan ini pula telah berlansung dengan jayanya di Batu Caves pada hari Ahad yang lalu. Kononnya, perhimpunan ini dilakukan untuk menunjukkan tanda simpati kepada rakyat Tamil Sri Lanka. Perhimpunan ini juga dikategorikan sebagai haram oleh pihak berkuasa. Tidak dapat dinafikan juga ada suara-suara yang mengatakan perhimpunan ini menyokong puak pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam(LTTE). Soalan saya, adakah mereka tidak simpati terhadap masayarakat Islam yang ditindas oleh LTTE? Seorang rakan saya dari Sri Lanka yang belajar di Malaysia, Deris(bukan nama sebenar), menceritakan bagaimana beliau dan keluarganya terpaksa meninggalkan rumah mereka sendiri untuk mengelak daripada dibunuh oleh puak LTTE! Adakah perjuangan seperti ini yang hendak disokong?? Tetapi, itulah hakikat ’simpati’ yang ditonjolkan oleh penganjur. Yang menariknya, perhimpunan haram ini juga dihadiri oleh beberapa orang ADUN dan juga seorang Timbalan Menteri dari Barisan Nasional. Dan lebih menarik, tiada penangkapan berlaku. Pelik bukan?? Amatlah pelik.


Tidak jelas lagi kepelikannya sehinggakan ada YB yang berusaha membawa pulang bekas pemimpin komunis Malaysia ke tanah air?? Ini bukan isu memaafkan atau tidak, tetapi isu tentang perasaan warga negara suatu ketika dahulu yang bermati-matian melawan pengganas komunis. Pelik pelik.


Tidak lupa juga isu mogok lapar yang telahpun bermula di Perak. Mogok ini dianjurkan oleh Pakatan Rakyat untuk membantah keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Dr. Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak. Acara ini dijangka dijayakan oleh masyarakat berbilang kaum di Perak termasuk Melayu, Cina dan India. Ucapan saya buat semua warga Islam Perak yang bercita-cita untuk terlibat dalam ’puasa sunat’ tiga hari bermula hari ini, diingatkan agar jangan lupa bersahur dan berbuka. Sesungguhnya bersahur dan berbuka itu merupakan perkara sunat yang digalakkan ketika berpuasa. Moga-moga amalan ’puasa sunat’ itu tidak terhenti di sini sahaja, malah berlanjutan hingga ke akhirnya.


Peta perlancongan negeri Perak(sekadar gambar hiasan)


Bukan niat saya hendak bermain kata tentang politik. Tetapi saya berharap dengan tulisan saya yang tidak seberapa ini, kita sebagai umat Islam sedar dan peka terhadap setiap isu yang berlansung di sekitar kita, dengan pandangan sebagai seorang Islam! Penganut agama lain sekarang sudah mula memulakan usaha penyebaran agama masing-masing secara perlahan-lahan. Harap-harapnya tidak ada orang Islam yang terpedaya dengan perancangan rapi mereka ini. Hentikan segala jenis sengketa yang tidak penting,


Bersatulah menyebarkan Islam di bumi kita ini dan ke seluruh pelosok dunia. Berusahalah untuk menegakkan hukum Allah SWT di atas muka bumi ini. Marilah kita sama-sama memaksimakan usaha kita menyebarkan kefahaman Islam sebenar kepada seluruh umat Islam yang masih lena dibuai mimpi. Sesungguhnya masih ramai lagi umat Islam negara kita yang lena dibuai hidup berkiblatkan Barat, berbanding dengan mereka yang bercakap tentang isu politik sekalipun. Apatah lagi jika dibandingkan dengan pembawa-pembawa risalah Islam di Malaysia ini. Ramai, memang ramai. Utamakanlah yang utama, tinggalkan perkara yang tidak berguna.


Takkan Islam hilang di dunia!!

Allahuakhbar!!


~Sesi soal jawab -

Encik Penulis, awak sekarang tinggal dengan atok awak kat Perak kan?? Tak join ’puasa sunat’ ramai-ramai tu ke??”

”Saya nak ’puasa sunat’ tiga hari atau tidak?? Entahlah, puasa Isnin Khamis pun kadang- kadang tertinggal.”


Wallahualam bi Sowabb. .


Wassalam. .

25 May 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain

Assalamualaikum w.b.t.


Setelah sekian lama tidak menulis tentang buku-buku yang telah sudah saya khatamkan, maka dengan senang hatinya pada hari ini akan saya kongsikan dengan anda-anda sekalian sebuah buku bertajuk Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain karya Afareez Abd Razak Al-Hafiz.

Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana mungkin penulisan saya ini terlalu skema dan kaku kerana susahnya hendak saya ringkaskan buku yang penuh teperinci dan ilmiah ini. Mungkin saya terpengaruh dengan cara penulisan gaya ilmiah yang ditonjolkan oleh penulis buku ini, Afareez Abd Razak Al-Hafiz. Penulis ini telah berjaya mencetus idea dan membuat penyelidikan tentang Zulqarnain dan mendapat pengiktirafan di Greece serta mendapat sambutan menggalakkan di Iran. Hasil kajian ini sudah diterbitkan dalam bentuk dokumentari dan disiarkan di saluran Astro Oasis.

Buku ini berkisahkan tentang Raja Zulqarnain, yang mana kisah tentang raja ini disebut dalam al-Quran di Surah al-Kahfi bermula dari ayat 83 sehingga ayat 98. Secara ringkasnya, penulis buku ini membuat kajian tentang siapakah Raja Zulqarnain yang disebut-sebut dalam al-Quran itu. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu kita mengaitkan Raja Iskandar@Alexender The Great sebagai raja yang digelar Raja Zulqarnain ini. Namun, penulis buku ini membawa kita ke satu perspektif berbeza dengan kajian-kajian yang dilakukannya.

Buku ini dimulakan dengan penceritaan tentang empat orang raja yang berjaya menakluk sebahagian muka bumi ini pada zaman masing-masing. Mereka adalah Raja Namrud, Raja (Nabi) Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Raja Zulqarnain.

Raja Namrud

Bab 1 yang bekisarkan tentang Raja Namrud ini dimulakan dengan penceritaan tentang sejarah manusia dari zaman Nabi Adam a.s. sehingga ke zaman pemerintahan dan latar belakang Raja Namrud. Seperti yang diketahui umum, Raja Namrud ini merupakan raja yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahin a.s. dan begitu menentang dakwah Nabi Ibrahim a.s. Secara ringkasnya Raja Namrud merupakan cicit kepada Nabi Nuh a.s. Nama penuhnya adalah Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh. Dia juga merupakan orang pertama yang mengasaskan kerajaan sesudah peristiwa banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s.

Bab 1 in berlanjutan sehingga cerita tentang Nabi Ismail a.s., Nabi Lut a.s., Nabi Ishak a.s., Nabi Yaakub a.s. dan Nabi Yusuf a.s. Panjang dan teperinci sekali maklumat yang diberi sehingga tidak termampu saya menulis semuanya. Nak tahu lebih, kenelah beli sendiri (tumpang promote).

Raja (Nabi) Sulaiman a.s.

Bab 2 ini pula bermula dengan penceritaan tentang Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Buku ini juga mengkaji tentang siapakah Firaun yang terlibat di zaman Nabi Musa a.s. itu dengan teperinci sekali. Bab ini juga menyentuh tentang Nabi Khidir, Nabi Yushwa’, Nabi Syam’un, Nabi Daud a.s., dan seterusnya Nabi Sulaiman a.s.

Bab ini juga menceritakan tentang pertemuan antara Nabi Sulaiman a.s. dengan Pemaisuri kerajaan Saba, Bilqees binti Sharahil. Selain itu, diceritakan juga tentang kejatuhan Kerajaan Nabi Sulaiman a.s. buat seketika dan kewafatan baginda a.s.

Raja Bukhtanasar

Raja Bukhtanasar memerintah empayar Babylon pada tahun 605SM hingga 562SM. Beliau adalah raja yang bertanggungjawab membina Taman Tergantung Babylon yang merupakan salah satu binaan keajaiban dunia purba.

Bab ini juga menceritakan tentang Nabi Daniel dan Nabi U'zair yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 100 tahun. Untuk pengetahuan anda, Nabi U'zair inilah yang didakwa oleh orang-orang Yahudi sebagai anak Tuhan. Diceritakan dengan teperinci sebab-sebab mengapa Yahudi menganggap Nabi U'zair begitu.

Perbincangan Iskandar Bukan Zulqarnain

Bab ini mengupas dengan lebih mendalam tentang siapakah Zulqarnain ini dan asal-usulnya nama Zulqarnain. Pertama sekali diceritakan tentang siapakah itu Raja Iskandar. Beliau dikenali sebagai Alexender The Great dan dilahirkan di Macedonia(Greece). Juga dicerikan tentang salur-malur keturunannya dan cerita tentang dirinya.

Bab ini juga membawa kita mengenali seorang lagi raja yang berjaya di zamannya iaitu Raja Kurush. Beliau adalah raja yang menguasai kerajaan Parsi. Juga diceritakan tentang keturunannya dan cerita tentangnya.

Sebelum bercerita lebih lanjut, jom kita kenali apakah cirri-ciri Zulqarnain yang diceritakan dalam al-Quran.

Perjalannya ke arah terbenamnya matahari
Menerima wahyu daripada Allah iaitu memilih sama ada hendak mengazab ataupun membuat kebaikan
Perjalannya ke arah terbitnya matahari dan menemui kaum yang tiada perlindungan
Membina tembok menghalang Yakjuj Makjuj

Buku ini menceritakan dengan amat teperinci tentang siapakah sebenarnya Raja Zulqarnain ini berpandukan cirri-ciri yang tertulis dalam al-Quran.

Secara tuntasnya, setelah kajian mendalam yang dijalankan, penulis menyakini yang sebenarnya raja yang digelar Zulqarnain itu adalah Raja Kurush. Panjang, amat panjang dan teperinci sekali fakta-fakta yang diberikan oleh penulis.


Pengajaran utama yang boleh kita sama-sama dapati daripada buku ini adalah pentingnya kita mencintai sejarah. Dengan mempelajari sejarah, membolehkan kita memperoleh pengajaran daripada kisah-kisah silam.

Kesimpulannya, buku ini amat menarik sekali untuk dibaca oleh orang-orang yang betul-betul meminati sejarah dan bersedia mendengar pendapat-pendapat baru dalam bidang sejarah. Penulis juga berjaya menyampaikan fakta-faktanya dengan berkesan hasil dari cara penulisannya yang mudah difahami. Dan yang lebih mengagumkan, ketelitian penulis mencari fakta dari segala jenis ceruk sumber yang ada. Dari kitab-kitab lama Yahudi, buku-buku sejarah Yunani dan Macedonia seperti tilisan Herodatus dan lain-lain, buku-buku tentang ketamadunan dari Barat, dan semestiya dari pendapat-pendapat ilmuan Islam seperti Ibnu Kathir, Hamka, Abul Ala’ Maududi, Muhammad Asad dan lain-lain lagi. Hasil dari pendapat-pendapat yang berpunca daripada pelbagai sumber, dan ketelitian mengaitkan setiap satu fakta dengan fakta yang lain, maka boleh dikatakan buku ini sesuai untuk seluruh masyarakat umum tanpa mengira agama, bangsa dan negara.



Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain ditulis oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz dan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. Jadi, dapatkah nashkah anda di kedai-kedai buku berhampiran anda pada harga RM17.50(Semenanjung) dan RM19.50(Sabah/Sarawak).

Wassalam. .

21 May 2009

Islam Dan Malaysia



Assalamualaikum w.b.t.


Hari ini merupakan salah satu dari hari-hari terawal saya sebagai seorang pelajar yang sedang bercuti. Saya ulangi, yang sedang bercuti. Cuti dari belajar merupakan sauatu keseronokan namun ianya boleh menjuruskan kita kepada suatu tahap kebosanan yang maksima jika tidak diuruskan dengan sebaiknya.


Saya bukannya hendak menceritakan tentang apa yang saya lakukan pada hari ini. Namun yang hendak saya kongsikan adalah tentang apa yang saya lakukan pada hari ini. Tak faham?? Tidak mengapa, baca lagi tentu anda akan faham.


Di kala waktu pagi tadi, dalam tahap kebosanan yang terlampau di rumah atok saya yang tercinta, dengan jayanya saya berjaya melihat sedikit daripada sedutan sebuah filem baru di tanah air yang bertajuk Syurga Cinta. Ya! Syurga Cinta filem lakonan artis bertudung meletup masakini Heliza disamping Haziq Tom Tom Bak.


Syurga Cinta


Bukan masalah artisnya yang hendak saya ketengahkan, namun filem itu sendiri yang macam bermasalah. Menurut penerbitnya, filem ini merupakan satu filem dakwah. Ya, saya tidak nafikan andanya unsur-unsur pengajaran dalam filem ini. Contohnya, bagaimana Heliza menjaga dirinya dari bercinta selagi belum masanya. Cintanya kononnya bukan untuk dipermainkan namun hanyalah untuk seseorang yang layak menjadi suaminya sahaja. Ya, bukankah ini merupakan satu pengajaran positif yang bagus untuk diketengahkan kepada gadis-gadis Islam di luar sana?


Namun, masalahnya ialah adegan di kelab malam, di mana pelakon lelakinya, dengan tenang mendukung seorang perempuan yang hanya berskirt, adegan di kamar tidur, dan lain lagi. Dengan aksi-aksi yang tidak bermoral(kononnya nak nampak real) ini, layakkah filem ini dikategorikan sebagai sebuah filem dakwah??


Anda tentukan, saya hanya menyokong jawapan anda.


Seterusnya, yang paling menarik sekali ialah sebuah berita(macam salah penjodoh bilangan je) yang saya baca di mukasaurat 3 akhbar Utusan Malaysia. Ops, diingatkan! Saya bukan hendak bercakap tentang politik. Saya pun masih budak mentah yang tidak layak lagi mengundi, jadi saya bukan nak cakap tentang politik. Tidak larat saya mengikut rentak politik Malaysia yang bermacam macam-macam.


Yang hendak saya kongsi ialah tentang berita ini:


KERJASAMA PROMOSI PAKAIAN ISLAM

Malaysia, Qatar Setuju Perkenalkan Busana Muslim Di Barat – Rosmah


Kuala Lumpur 20Mei - . . . . Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, persetujuan mempromosi pakaian bercirikan busana muslim itu dicapai antara beliau dan Pemaisuri Seheikha Mozah Nasser Al Missned.

Katanya dengan langkah itu, secara tidak lansung ia meningkatkan pengetahuan orang Barat tentang Islam melalui dunia fesyen.


“Kita mahu orang Barat menyedari bahawa Islam itu luas termasuk menerusi dunia fesyen yang mempunyai pelbagai rekaan yang dicetuskan namun masih dengan konsep menutup aurat,” katanya.. .. .


Sekarang, saya mahu anda semua tetapkan akal fikiran anda cara penutupan aurat bagi gadis masyarakat Melayu Islam di Malaysia sekarang. Maksudnya, lupakan sekejap kewajipan menutup dada, memakai lengan panjang, memakai stokin dan lain-lain lagi yang selalunya gadis-gadis kita tidak endahkan. Sudah dapat? Ya, itulah antara fesyen busana muslim yang mungkin akan dipromosikan sebagai pakaian wanita Islam di Barat. Tetapi, yang paling menyeronokkan, puan yang bercakap inipun tidak menepati ciri-ciri busana muslim yang hendak dipromosikannya serata dunia. Aik? Pelik kan? Namun itulah hakikatnya.


Macam ibu ketam mengajar anaknya jalan lurus, anaknya hanya mampu jalan senget, tapi ibunya lagilah, jatuh terlentang tak berjalan-jalan.


Huh, itulah situasi di Malaysia sekarang. Untuk pengunjug blog saya yang sedang berada di luar Negara, saya ulangi, inilah situasi di negara kita sekarang. Semua orang sekarang hendak bercakap tentang Islam. Ya, tidak saya nafikan ia merupakan satu keadaan yang bagus berbanding tahun 60an dahulu. Namun masalahnya pabila orang yang ‘macam-macam’ berbicara tentang Islam.


Mungkin banyak orang yang hendak dengar tentang Islam, namun kalau golongan begini yang mereka jumpa, macam manalah Islam di negara kita 20 tahun lagi??


Hmm…memang macam-macam ada…


Jadi, untuk kita-kita yang yakin bahawa Islam itu pasti cemerlang, gemilang dan terbilang suatu hari nanti, marilah kita sedaya upaya berusaha ke arah memartabatkan Islam yang sebenar di muka bumi kita ini!! Teruskan usaha kalian untuk memastikan Islam yang syumul sampai kepada seluruh masyarakat manusia.


~Islam bukan sekadar dalam kad pengenalan


Wassalam…


18 May 2009

Remaja Bukan Sekali

Assalamualaikum w.b.t.

Huh, setelah sekian lama menyepikan diri daripada dunia tanpa sempadan ini, akhirnya dapat juga saya kembali menunaikan hak pembaca sekian. Kali ini, saya hanya akan mengambil satu artikel yang diculik dengan izin dari blog sahabat saya, Akmal Hakim Abdul Khaliq. Artikel ini bagi saya amat menarik terutama pabila mengenangkan yang sebenarnya Remaja Bukan Sekali. Hmm...

Remaja Bukan Sekali

“Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

taubat

Sesekali apabila saya memerhati tentang diri ini, saya masih remaja. Masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat. Masih banyak lagi yang perlu yang saya bersedia.


Secara pasti, erti remaja yang kita pegang adalah erti semangat.


Maksud saya, segala-galanya adalah berpandukan semangat.


Maka dalam keadaan kita bersemangat itu, ia jatuh kepada perkara yang subjektif. Sama ada semangat itu adalah untuk tanggungjawab atau sekadar kepuasan.


Ramai yang menjawab tanggungjawab.


Namun tindakan, tingkahlaku sedikit pun tidak melambangkan ia adalah atas refleksi tanggungjawab. Bahkan, terang-terang semua untuk kepuasan diri.


Saya beri contoh mudah. Ada yang kata ingin berkhidmat untuk masyarakat, tapi apabila sampai beberapa orang yang ingin meminta khidmat, dicasnya bayaran yang tinggi. Lantas segala program yang dilaksanakan tergendala kerana masalah bajet.


Itu bukan tanggungjawab namanya.


Banyak sangat yang berlaku manusia terlalu mengagung-agungkan kata-katanya. Almaklumlah, remaja hanya sekali, rancang segala benda tak fikir dua kali, nak buat, tak boleh diharap walaupun sekali.


Itulah yang berlaku.


BAHANA LAMAN WEB SOSIAL KEPADA REMAJA


Kalau dahulu bermula dengan friendster, disusuli dengan MySpace, Hi5, tagged, facebook dan yang terkini bersarang di inbox e-mel saya, desktopdating entah apa lah.


Katanya nak memperkembangkan dakwah. Gunakan segala teknologi yang ada.


Tapi sekadar manis di bibir.


Yang digunakan untuk dakwah hanya 1-2%, lebihnya digunakan untuk bersosial.


Kalaulah friendster itu berjaya menggalakkan diri kita berkembang, sekurang-kurangnya boleh menulis dengan cara yang lebih beretika, tak mengapalah.


Tetapi, sejauh lama mana sekalipun, yang ada balik-balik mesej yang sama. Saya berulang kali dapat mesej yang sama, 5-6 tahun lepas tanpa ubah satu perkataan pun. Ini bermakna, orang menggunakan friendster dsb, tidak berubah dari sifat stereotipikal ini.


Banyak perkara yang boleh dilaksanakan sesuatu sebagai tambah nilai.


DILEMA REMAJA ISLAM


Ketika hari lahir saya bulan lepas, terfikir saya satu perkara. Inilah tahun akhir saya menamatkan kehidupan saya pada ‘belasan tahun’ kepada taraf ‘puluhan’. Maka sedikit sebanyak saya muhasabah diri, banyak perkara yang saya akan tempuh selepas ini.


Ini bermakna sekali ganda usia yang telah saya hidup ini, saya akan capai satu penentuan umur penentu, bak kata Rasulullah;


“Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah” (Hadis Riwayat Tabrani)


Tertanya-tanya sendiri, sebanyak manakah saya sudah cukupkan insuran pahala pada hari-hari kemudian ini. Usia remaja selama 19 tahun saya hidup, begitu sukar sekali untuk saya pastikan adakah cukup-cukup amalan saya menepati piawaian Allah untuk bersama orang-orang yang selamat di akhirat kelak? Sebut tentang alam kubur pun belum tentu.


Kemudian terbaca saya satu hadis yang lebih menakutkan.


“…Kamu kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kala-ngan kamu yang berlaku sebaliknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Nauzubillah min su’uz zalik.


Saya mulalah mengenal siapa saya. Adakah saya mampu lagi bermuhasabah diri jika diri ini semakin biasa dengan perkara-perkara yang lagho, gurau senda, buang masa dan sebagainya yang melingkar di sekeliling leher ini?


Tarbiyah bukan mengambil masa yang singkat.


Sesudah itu, pelaksanaan istiqamah pula.


Saya khuatir, sebagai manusia yang naik turun iman ini, adakah saya akan berjaya menempuh dunia yang bersih?


Ataupun saya bakal dicalarkan dengan noda yang merosakkan masa depan?


Remaja kalau tidak berfikir setiap tindakannya berkait rapat dengan masa depannya, musnahlah.


Saya beri analogi.


Ada yang kadang-kadang saya lihat memasang di friendster dengan gambar berdua-duaan, gambar itu gambar ini, ‘tiger show’ dan sebagainya, seolah-olah akan remaja selama-lamanya.


Tidak malukah anak selepas 10 tahun akan datang melihat ayahnya ‘terkantoi’ dengan wanita lain ketika remaja?


Tidak malu anak-anak perli anda ‘suami isteri’ bersayang-sayang di friendster ketika remaja?


Atau membiarkan mentaliti mereka akan biasa dengan keadaan ini?


Itu baru soal malu manusia.


Cuba bayangkan setelah bermacam-macam adegan yang pelik, tak senonoh dan sebagainya dipaparkan di laman web sosial itu, tetapi, belum sempat kita padam profil, mati kemalangan. Adakah wujud posmen 2 antara dua alam yang boleh berikan password & username untuk padamkan profil itu?


Tidakkah setiap kali mata kepala memandang keburukan itu, menjadi satu dosa yang jarir?


Aduh seksanya andai di dalam kubur dihukum kerana ini.


Kemudian kita akan dihadapkan malu di depan-Nya.


Fikirkan.


Saya menulis di sini kerana kita remaja. Banyak perkara dalam dunia ini yang masih kita tak sedar. Banyak lagi tuntutan dan tanggungjawab belum terlaksana. Itulah manusia yang bernama remaja.


LAWAN ARUS


Bertubi-tubi saya membaca bahan bacaan yang melibatkan soal hati. Namun ketika berlegar-legar di sekitar soal jiwa ini, saya menemui satu jawapan yang hakiki bahawa sebenarnya semua ini berkait rapat dengan hubungan seseorang dengan nafsu.


Apatah lagi yang liar belum dijinakkan. Siapa lagi golongan yang saya maksudkan kalau bukan remaja.


Manusia andai tidak mengenal nafsunya maka dia berpotensi untuk hanyut dalam menerusi jalan hidupnya. Nafsu itu tidak suka pada perkara yang menyusahkannya, tetapi suka pada perkara yang senang-senang (saya tidak memaksudkan perkara yang haram di sini).


Tetapi nafsu itu apabila tidak dijinakkan, maka ia mengheret empunya badan kepada perkara yang lebih sia-sia. Contohnya, seseorang yang mengalami masalah sering kali menghabiskan duitnya beribu-ribu untuk kepuasan dirinya, adakah ia akan menyelesaikan keadaan?


Atau nafsu itu semakin meliar dahagakan lebih kepuasan?


Bercakap tentang nafsu, mengarut jika ingin melembutkannya dengan cara menurutinya. Amat jelas bagi saya bahawa sebenarnya kita tak akan mencapai kebahagiaan atau ketenangan dengan cara memuaskan kehendak nafsu semata-mata, tetapi sebaliknya dengan mendidiknya (mujahadah).


Saya tak bermaksud memadam terus api nafsu, sedangkan ia adalah sebahagian dari hidup.


Tetapi, nafsu yang ada inilah biasanya menyekat kita daripada melakukan amalan-amalan yang ikhlas kerana mahu dipuji, tidak berkata benar kerana mahu dipercayai, gila kuasa sebelum diri diuji.


Bagaimana jika kita mahu berjuang andai nafsu belum dilentur.


Inikan lagi mendidik orang lain.


Bak kata Ustaz Abdullah Zaik,


“Seorang murabbi yang mahir perlu faham bahawa dalam urusan tarbiah ia sebenarnya berhadapan dengan tindak-tanduk nafsu anak buahnya. Ia harus memiliki kemahiran bagaimana selok belok mengendalikan tindak tanduk yang lahir dari berbagai tindakbalas nafsu. Jika ia tidak faham atau tidak punya pengalaman mustahil murabbi itu akan berjaya dalam tugasnya mentarbiah anak buahnya.”


Ustaz ada memberi tahu lagi bahawa nafsu adalah unsur terpenting dalam proses tarbiah Islamiah. Ia adalah paksi kejayaan orientasi tarbiyah manusia keseluruhannya. Silap cara mentarbiah nafsu manusia akan jadi lebih menarik dari sebelumnya, kerana nafsu yang diberi ilmu tetapi tidak ditarbiah lebih tahu menipu daripada nafsu yang jahil.


Kerana begitu ramainya wujud manusia-manusia yang berterampil taqwa, sopan, dan berakhlak di depan, namun jauh dari dalam tidak ada penghayatan tentang apa yang di bawanya sendiri.


Saya sendiri sebagai orang yang baru setahun jagung dalam dunia tarbiyah ini pernah merasai pembawakan saya terhadap dakwah Islam, namun sangat memanjakan nafsu. Ketika ini saya meneliti dan menilai bahawa setiap yang buruk di depan mata, perlu saya cegah. Namun diri ini sendiri tidak nampak mana kelompong salah silapnya kerana ilmu bertapak di kepala, tetapi tarbiyah tidak berpijak di hati.


Lantas barulah saya sedar bahawa kenapa dalam hadis Rasulullah;


Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amr bin Ash rodhiallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah bersabda, “Tidak beriman seseorang di antara kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.” (Hadits shahih, kami riwayatkan dalam kitab Al-Hujjah dengan sanad yang shahih)


REMAJA BUKAN SEKALI


Akhirnya saya dapati bahawa apa yang kita lakukan hari ini begitu mudahnya terpengaruh dan tersilap langkah apatah lagi sebagai remaja. Lalu, saya dapati satu senjata yang paling ampuh dan kukuh sebagai seorang remaja, memasang senjata istiqamah.


Istiqamah itu bagi orang tua sudah tentu, kerana apa yang dipandang pada masa-masa depannya adalah satu penamat. Namun ini tidak bagi remaja. Secara jujurnya, saya sebagai seorang pemuda ada waktunya saya beramal lebih, juga ada waktu kurangnya.


Kata mak, “tegaskan prinsip”, itulah kunci istiqamah.


Jangan mengalah untuk berubah. Fasa-fasa dalam remaja adalah waktu yang sering kali menyedari hakikat untuk berubah, namun angkara persekitaran, kadangkala inilah yang menjadi persoalan kenapa sukar untuk memulakan perubahan itu.


Terpulanglah sama ada takut diejek, atau takut tidak ada peluang lagi untuk berubah, semuanya diri sendiri yang menentukannya.


Hari ini kita remaja, jangan lupa diakhirat juga kita berpeluang untuk menjadi remaja.


Ibn Abbas r.a. berkata: “Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, polos, halus, tidak ada rambut kecuali dikepala, alis dan bulu mata, sedang janggut, kumis, ketiak dan ari-ari tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa a.s 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: “Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu sekuatnya.”


“Jari-jemari ini bersaksi di atas papan kekunci agar aku berkata kepada diri sendiri, sebelum orang lain”

~Sumber:
Blog saudara Akmal Hakim Abdul Khaliq,
senikehidupan.wordpress.com

12 May 2009

Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis, Saya Dan Pemuda

Assalamualaikum w.b.t.

Huh, lama benar tidak saya menulis dalam blog ini. Dengan KBAZ yang sudah tamat, dengan semestar pendek yang sudah hampir tamat, dengan penghujungnya waktu saya di CFSIIUM ini, dan bermacam-macam lagi alasan yang berjaya direka, menyebabkan blog ini terbiar usang selama ini.

Kali ini pun, saya hanya ingin berkongsi pengalaman saya bersama Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang berlansung pada hari Sabtu yang lalu. Meriah, cukup meriah. Daripada persediaan hinggalah penamat. Memang cukup meriah.



Tag Urusetia KBAZ

Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan terpilih menjadi urusetia semasa konvensyen ini berlansung. Kami semua ditugaskan menjadi 'usher' atau bahasa mudahnya pengiring dan pembantu kepada semua hadirin yang hadir. Huh, susah juga pabila kami diminta menggunakan bahasa yang formal seperti Encik, Tuan, Puan, Cik, Dato dan lain-lain. Tidak ketinggalan juga ingatan agar tidak menggunakan perkataan tandas dan menggantikannya dengan bahasa yang lebih bergaya iaitu 'wash room'.

Kami tiba di PWTC pada petang Jumaat jam 3.00petang untuk mendengar penerangan dan rehearsel penuh. Semuanya berakhir lebih kurang pada jam 11.00malam sebelum kerja kami bersambung dengan memasukan semua kertas kerja ke dalam beg peserta. Kerja berlanjutan sehingga jam 2.30pagi pada hari tersebut.


Sekitar waktu rehearsel

Penat, memang terasa juga kepenatan kerana tidur lewat pada malam tersebut. Namun pabila terkenangkan AJK-AJK atasan program seperti akh Jalil, akh Zaizul, akh Umar Hakim, akh Usamah dan lain-lain yang hampir setiap hari pulang menjelang 2.30pagi kerana konvensyen ini, apalah sangat tenaga kami ini. Belum dikira lagi dengan AJK yang bekerjaya seperti akh Jalil, akh Zaizul dan lain-lain yang semestinya bertungkus-lumus membahagikan waktu antara kerjaya, konvensyen, isteri dan anak-anak, fuh.. tidak terkata saya dibuatnya. Itulah hasil dari kefahaman dan keikhlasan mereka menjayakan program ini.


Antara yang syahid di malam kejadian


Pentas di malam kejadian

Malam tersebut, kami berpeluang tidur selama kira-kira hampir 3 jam sebelum bersiap untuk menghadapi konvensyen ini. Namun, Alhamdulillah, sepanjang konvensyen berlansung, tiada urusetia yang mengalami sebarang masalah kesihatan dan sebagainya. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan tugas-tugas tertentu. Berbaju putih dan berseluar hitam, cukup mengaburi mata hadirin antara kewujudan kami sebagai urusetia dan kewujudan waiter di tempat makan. Namun, kelibat tali leher cukup membezakan antara kami dan mereka.


Urusetia memperagakan tali leher masing-masing

Macam-macam ada, itulah istilah yang sesuai menggambarkan kejadian di pagi itu. Dari kelibat manusia yang bermacam muka, yang hadir dari bermacam negeri dan juga yang bermacam kerenahnya, cukup memberi pengalamn berharga kepada kami.

Tentang konvensyen, secara jujurnya saya sendiri tidak mendengar atau mengikuti pembentangan yang diberikan pada hari itu kerana menguruskan hal-hal lain. Anda boleh melayari laman web rasmi PEMBINA untuk mengikuti laporan penuh konvensyen tersebut. Harap-harapnya akan ada dijual CD rakaman konvensyen ini secepat mungkin agar tidak menghampakan hati saya yang terlalu ingin mendengar pembentangan dari kesemua speaker.

Rata-rata yang hadir adalah golongan pemuda, membuktikan masih ramai pemuda-pemudi di Malaysia yang masih peka kepada isu Palestin. Ini cukup membuktikan bahawa tidak semua pemuda kita hanyut dalam masalah-masalah sosial seperti yang telah saya tulis sebelum ini di dalam artikel yang bertajuk Pemuda Dan Masalah Sejagatnya.

Sebahagian daripada 3000 peserta yang hadir

Secara tuntasnya, progran-program seumpama ini amat penting dalam membuka mata pemuda kita yang masih banyak lagi yang hanyut di luar sana. Walaubagaimanapun, syabas dan tahniah kepada AJK-AJK atasan yang bersungguh-sungguh menjayakan konvensyen ini. Tidak lupa kepada semua usher-usher yang terlibat, moga nilaian sedikit tenaga kita yang dicurahkan digantikan oleh Allah SWT dengan pahala yang melimpah ruah.

Di sini, akan saya kongsikan gambar-gambar sekitar konvensyen yang terdapat dalam koleksi saya hasil kutipan dari kamera dan telefon bimbit berkamera sahabat-sahabat sekitar saya. Maaf, tidak banyak yang dapat ditangkap disebabkan kesuntukan masa membantu melancarkan konvensyen ini.

Akh Zaid Rais sibuk melayan rombongan peserta dari CFSIIUM PJ

Antara usher yang bertugas sebagai penyambut tetamu sambilan

Usher sibuk mendengar penerangan dari Ketua Usher-akh Usamah Izer

Akh Ibrahim Hassan sebagai security bersama cermin mata hitamnya. Selamat pengantin baru. Hee...

Usher-usher sedang menjalankan tugas(iyela sangat tengah bertugas)

Waktu makan tengahari. Sedap woo daging kambing dia

Antara hadirin yang hadir

Untuk gambar-gambar selanjutnya, layarilah galeri laman web rasmi PEMBINA.

Akhir kata dari saya, konvensyen ini berjaya membawa masayarakat terutamanya pemuda sedar dan peka tentang isu Palestin. Semoga kita semua istiqamah memperjuankan isu ini hinggalah Zionis dihalau keluar dari bumi Palestin.

p/s- tunggukan program PEMBINA yang akan datang sebelum Ramadhan tahun ini.

Saya ahli PEMBINA, anda bagaimana??

Wassalam..

02 May 2009

Pemuda dan Masalah Sejagatnya

Assalamualaikum w.b.t.

Saat-saat sedang keseorangan, saya termenung sendirian teringatkan kisah-kisah silam saya di zaman persekolahan dahulu bersama teman-teman. Sungguh, macam-macam pengalaman dan kenangan yang dapat kami kongsi bersama. Hah, zaman cuba-cuba ponteng kelas dahulu, ketika peningnya kepala mempelajari subjek Matematik Tambahan dan macam-macam lagi.

Owh, kawan-kawan ku, awatla angpa macam orang tak betul je?hee....

Ops, kali ini bukannya saya ingin bernostalgia, tetapi ingin berkongsi dengan anda semua tentang pemerhatian saya sejak dahulu lagi, tentang masalah sosial di kalangan generasi muda sekarang. Kali ini, saya akan menyenaraikan masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh golongan muda zaman sekarang dan ciri-cirinya. Masalah yang saya maksudkan adalah ketidakselarian perkara tersebut dengan kehendak syarak.

Selama ini saya sering menjadi pemerhati, namun kali ini InsyaAllah akan cuba saya bongkarkan masalah sosial yang sering menghantui pemuda kini. Idea ini akan dikupas bedasarkan pengalaman dan pemerhatian saya terhadap pemuda zaman kini.

Couple, bercintan-cintun dan konco-konconya.

Eh, ang ada nombor phone awek tu tak? Awek yang baru masuk sekolah kita tuh”,
ayat sebegini seringkali kedengaran tikamana adanya pelajar perempuan baru masuk ke sekolah. Berbekalkan kredit handphone dan ayat yang telah disusun, maka bermulalah episod pertama permainan percintaan ini.

Smekom, ni no phone Minah(bukan nama sebenar) ke??”
Wkslm, ye saya Minah.. Ni sape erk?”

Dengan bermulanya skrip ini, maka bermulalah jua episod cinta dua remaja yang masih tidak mengerti apa itu cinta.

Abg syg ayg sgt2. Percayalah, cinta abg pada ayg adalah cinta sejati.

Daripada pelajar sekolah, sehinggalah ke pelajar Universiti. Tidak kurang juga mereka yang mendakwa ‘pejuang agama’, tewas dalam lembah ‘cinta suci’ ini. Bermula dengan berkenalan, berterusan dengan bersms pagi petang, bersambung dengan talian di hujung malam.

Adakah terhenti setakat ini? Tidak sama sekali. Pertemuan pertama terus disusun. Si adik kecil dibawa sebagai peneman(nak elakkan syaitan jadi pihak ketiga konon), jalan pun masih tidak seiringan, hampir dua meter jarak memisahkan badan, namun tetap bertahan, demi cinta sejati kurnian Tuhan.

Hisyh, tak romantikla kalau tak pegang tangan.”, syaitan mula menyusun strategi.
Huh, mula-mula pegang tangan, lepas tu cium-cium, lepas tu pegang-pegang, lepas tu? Hmm, syaitan melonjak gembira, keturunan Adam tewas akhirnya. Semuanya hanya bermula dengan couple, membawa kepada penzinaan, buang bayi, malahan membunuh.

Cinta ‘suci’ berpaksikan nafsu semata-mata.

Pengaruh Muzik Aliran Terkini

Daripada muzik reggae, hiphop, punk, skinhead, metal, indie, techno dan bermacam lagi senjata Barat ini, berjaya menguasai pemikiran pemuda zaman kini. Dengan gaya pemakaiannya, kepada gaya percakapan dan tingkah laku, lalu diikuti gaya hidup yang dicanangkan oleh aliran muzik mereka, benar-benar tidak membawa apa kebaikan pun kepada pemuda.

Shuffle, gig, mosh, arak, seks bebas, dan macam-macam lagi yang berjaya diterapkan kepada minda pemuda kini. Persaudaraan kini dilihat dari segi aliran muziknya, si skinhead tidak kan teragak-agak membantu 'saudaranya' membelasah si hiphop walaupun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, dan juga sebaliknya bagi aliran lain.

Walaupun mungkin tidak semua aliran muzik mempromosikan keganasan, seks bebas dan arak, namun yang pastinya pencampuran terbuka antara lelaki dan wanita pasti berlaku. Pasti. Rasanya masih tiada lagi konsert-konsert yang mengasingkan lelaki dan perempuan, apatah lagi mempromosikan gaya menutup aurat yang betul kepada pengikut perempuannya.

Ops, hampir terlupa. Tidak kurang juga kesan rancangan realiti televisyen zaman kini yang mempetaruhkan remaja sebagai watak utama. Punah, segalanya sekarang dapat disaksikan setiap minggu, gadis dan teruna berpelukan sesama mereka, dan lain-lain lagi.

Berjayanya musuh Islam dalam perang pemikiran ini.


Rokok, Ganja, Dan Yang Sealiran Dengannya

Dimulakan dengan menghisap rokok, lama-kelamaan mencuba shisha dan berbagai lain ‘zat tambahan’ yang diperlukan oleh pemuda kini. Mulanya hanya ingin cuba-cuba, lantas membawa kepada kewajipan membawa sekotak rokak dan lighter di dalam kocek seluar. Walaupun macam-macam kempen yang telah dilakukan, namun sedikitpun tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada pemuda. Mungkin gambar paru-paru hitam di kotak rokok sedikit menggentarkan mereka, namun pantas diatasi dengan kepopularan kotak rokok besi zaman sekarang. Selalu saya melihat abang-abang perokok tegar kini sungguh rajin menyusun rokok-rokok mereka ke dalam kotak rokok besi kepunyaan mereka, dengan sebab tidak sanggup melihat paru-paru mereka sendiri di kotak rokok yang mereka beli.

Ini baru rokok, bagaimana dengan pipepone, ganja, pil estacy, dadah dan sebagainya? Paling karut sekali sehingga ada yang mengatakan mereka mengambil pipepone kerana mahukan kesegaran ketika study di lewat malam. Aduh, benar-benar parah sebenarnya pemuda sekarang. Lebih mendukacitakan, statistik menunjukkan saudara-saudara seagama kita yang paling banyak sekali terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Pemuda kita semakin khayal dalam kepulan asap-asap sendiri.


Ketidakmampuan Melawan Nafsu

Isu seks seperti menjadi perkara biasa pada masa sekarang. Dari yang hanya menggunakan melepaskannya dengan tangan sendiri, sehinggalah kepada yang sanggup dibayar dan membayar. Tidak kurang juga yang berjaya di’sapu’ di malam merdeka, malam new year, malam valentine dan macam-macam malam lagi. Mungkin agar kasar, namun hanya berbekalakan kondom dan sedikit duit untuk belanja makan, sang lelaki dapat bertemankan gadis yang baru sahaja dikenalinya tidak sampai sehari pada malam perayaan tersebut.

Tidak kurang juga yang menyimpan koleksi video lucah. Handphone digunakan dengan sebaiknya untuk menyimpan dan mengedarkan video-video lucah sesame mereka. Dan yang lebih menjijikkan, tidak kurang juga yang menggunakan handphone untuk merakam ‘aksi’ mereka sendiri.

Hancur, betul-betul hancur pemuda sekarang.


Mat/Minah Rempit Dan Dunia Pertaruhan

Rempit, satu isu panas dan hangat yang sering diperkatakan masa kini. Rempit membawa kepada amalan seks bebas, pertaruhan, dan kadang-kadang membawa kepada peningkatan kes kecurian di negara kita. Sekali lagi tidak saya nafikan ada perempit yang tidak terlibat dengan jenayah-jenayah ini, namun pada hakikatnya apakah gunanya membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain? Jika masih ingin berlumba, pergilah berlumba secara halal di trek-trek yang disediakan. Rasulullah SAW dahulu pun berlumba lari dengan isterinya Aisyah r.h.a.. Huh, romantiknya Baginda dalam melayari hidup berumahtangga. Ops, lari topik la pula.

Bermula dengan bertaruh 20sen dalam perlawanan bolasepak pagi ini, membawa kepada pertaruhan untuk memikat si gadis ayu yang menjadi rebutan sang buaya. Tidak ketinggalan taruhan lumayan ditemani seorang gadis pabila memenangi perlumbaan, dan kepada kegiatan judi di pusat-pusat judi, serta yang bersembunyi di dalam pusat-pusat snuker. Owh, duit haram terbang ke merata-rata tempat di masa ini. Amat mudah untuk digapai, namun hanya imanlah yang mampu menepis segalanya.

Huh, memang sedih mengenangkan generasi pewaris akan datang


Realiti Pemuda Zaman Kini

Inilah realiti yang sedang berlaku kepada pemuda Islam zaman kini. Ya, saya tidak nafikan masih ramai pemuda-pemuda yang tetap berpegang kepada Islam, namun tetap masih sebagai golongan minoriti.

Kepada pemuda yang berjaya berpegang teguh pada Islam, tahniah dan marilah sama-sama berusaha membawa saudara-saudara kita yang lain bersama memperoleh nikmat Iman dan Islam yang sedang dikecapi.

Dan kepada pemuda yang masih tidak sedar segala jenis kesalahannya, usahalah untuk berubah kerana ajal itu tidak mengenal usia. Malah kita sama-sama merenung maksud ayat Quran ini.

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.Dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”
(Surah al-Kahfi,18 : 13-15)

InsyaAllah jika berkesempatan, akan saya rungkaikan satu-persatu masalah-masalah di atas bedasarkan ketidaktepatannya dengan landasan agama Islam.

~generasi pemuda merupakan harapan agama, bangsa dan negara (ayat skema dari saya)



Wassalam..

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP