30 September 2009

Khas Untuk Orang-Orang Yang Sambut Raya

Assalamualaikum w.b.t.


~Berlalulah sudah Ramadhan,
Sebulan berpuasa,
Tiba Syawal kita rayakan,
Dengan rasa gembira~

Merujuk kepada kemeriahan lagu di atas, dengan ini, saya menyampaikan jemputan daripada pihak PEMBINA DHL untuk menjemput anda-anda sekalian ke:

MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI PEMBINA DHL
yang berlansung di
DEWAN CEMPAKA, KOMPLEKS PKNS, SEKSYEN 9, BANDAR BARU BANGI
pada
3 OKTOBER 2009
bermula jam
9.30PAGI HINGGA 12 TEBGAHARI.

Tetamu dialu-alukan memakai pakaian raya seperti baju Melayu, baju kurung dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi PEMBINA DHL atau klik sini.

Sekian, terima kasih..

~Anak muda di rantauan,
Semuanya pulang ke desa,
Ibu dan ayah keriangan,
Bersyukur tak terkira~

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin daripada saya, kepada anda sekalian..
~Kesibukan di musim raya membuatkan saya tidak sempat membuat ucapan raya ini lebih awal..

Wassalam . .

27 September 2009

Muslimah..Sanggup ke bayar sebab bertudung??

Assalamualaikum w.b.t.

Artikel ini dipetik daripada Berita Harian hari ini, 27 September 2009..
Untuk artikel penuh, klik sini.

____________________________________________________________________


Idea karut ahli politik Belanda dianggap penindasan, sengaja mahu bebankan wanita Muslim

ANDA mungkin masih ingat dengan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang pernah mencetuskan kemarahan umat Islam tahun lalu dengan filem dokumentarinya bertajuk Fitna yang mendakwa bahawa al-Quran punca peperangan dan permusuhan manusia.

Terbukti, kebenciannya terhadap Islam dan umatnya sehingga hari ini belum reda. Pada pertengahan bulan ini, dia tergamak mengusulkan cadangan yang tidak masuk akal bahkan tidak mencerminkan dirinya bertamadun, pada sesi sidang Parlimen Belanda yang menggulung perbahasan bajet kerajaan bagi 2010.

Seperti dilaporkan laman web Eramuslim.com pada Khamis, 24 September lalu, pemimpin Partij voor de Vrijheid (PVV) itu mengusulkan wanita bertudung di Belanda dikenakan cukai 1000 euro (RM5,100) setahun!

Alasan ahli politik yang pernah dilarang ke Britain kerana filemnya itu kerana tudung bukan budaya Belanda dan simbol penindasan serta merosak pemandangan bermasyarakat. Cadangan cukai itu digelar Wilders sebagai kopvoddentax.


Subhanallah! Apakah yang akan terjadi jika cadangan ini diterima? Wanita bertudung mesti bayar cukai RM5,100 setahun. Akal sihat mana yang mahu menerima cadangan karut seperti ini.

Mujurlah di Parlimen Belanda masih ramai yang tahu menggunakan akal sihat. Ketua Fraksi Demokrat, Alexander Pechthold, pada mulanya tidak percaya dan bertindak memastikan apakah syor ini serius atau hanya jenaka. Jika serius, Wilders dipersilakan beredar dari ruang sidang seperti kebiasaannya selama ini.

Ketua Fraksi Parti Sosialis (SP), Agnes Kant, sebaliknya mengusulkan agar dikenakan cukai bagi bahan waterstofperoxide atau hidrogen peroksida (H2O2) yakni campuran kimia yang dipakai Wilders untuk mewarnakan rambut hitamnya menjadi perang kerana Wilders sendiri berketurunan Yahudi pada sebelah ibunya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia ketika penjajahan Belanda. Oleh itu, rambut asalnya ialah hitam.

Kant menambah bagaimana dengan keppeltje atau kopiah penganut Yahudi, apakah pemakainya akan dikenakan cukai juga? Wilders agak tersentak, lalu menjawab keppeltje tidak termasuk dalam cadangannya.

Kant bertanya lagi, bagaimana dengan penganut Kristian dan Katolik di kota kecil dan desa yang masih ramai mengenakan tudung?

Wilders nampak tidak siap dan kurang penyelidikan dengan fakta ini, bahawa masih ramai penganut Kristian dan Katolik di Belanda yang bertudung.

Selepas berfikir seketika, Wilders menjawab yang dia hanya merujuk khusus untuk penganut Islam.

Mendengar jawapan ini ruang sidang Parlimen Belanda riuh rendah. Bagaimana undang-undang akan diluluskan jika hanya membabitkan sebahagian warga negara, manakala warga lain terkecuali?

Sementara Femke Halsema dari Groenlinks juga menanyakan bagaimana peraturan seperti itu boleh diamalkan? Ba-gaimana Wilders atau penguatkuasa undang-undang dapat membezakan pemakai tudung ialah umat Islam, Kristian atau Katolik? Apakah mesti diwajibkan polis khusus untuk memeriksa mereka yang bertudung dan menyoal siasat apakah mereka penganut Islam, Kristian atau Katolik?

Wilders tak dapat memberikan jawapan konkrit kecuali mengatakan peraturan itu akan menakutkan perempuan Islam.

Halsema menegaskan cadangan Wilders itu antikebebasan dan tidak sesuai dengan nama parti yang dipimpinnya. Cadangan itu satu penindasan, memaksa sebahagian warga negara untuk tidak bebas menggunakan haknya.

“Itu mirip di Iran. Di sana wanita dipaksa untuk bertudung dan anda akan memaksa mereka untuk tidak bertudung,” kata Halsema.

Demikianlah pembentangan hujah yang memanaskan Parlimen Belanda ketika semua umat Islam di seluruh dunia sedang menunaikan ibadat puasa pada penghujung Ramadan lalu.

_____________________________________________________________________

Jadi, macam mana gadis-gadis Islam di Malaysia ini?? Mahukah anda membayar cukai hanya disebabkan anda memakai tudung???

Oleh itu, menjadi tangungjawab anda-anda(gadis yang bertudung) untuk mengajak kawan-kawan di sekitar anda untuk bersama bertudug seperti anda..

Bagi yang tidak bertudung, aduh.... Tak kena bayar pun bertudung tau..
Dapat pahala lagi tu...

Hmm....

Ini saja artikel pendek di kala malas untuk menulis ini..

Wassalam . .

07 September 2009

Khas Untuk Pelajar Kejuruteraan

Assalamualaikum w.b.t.

Jika adanya program seperti Iftar Medic Muslim untuk pelajar-pelajar jurusan perubatan, saya juga tidak ketinggalan untuk berkongsi sesuatu kepada pelajar-pelajar sealiran dengan saya, iaitu pelajar dibidang kejuruteraan.

Ini adalah hasil kerja tugasan Bahasa Melayu saya yang dilakukan bersama saudara Wan Dharmazaiman Fariz. Tugasan yang diberikan oleh guru kami untuk dibentangkan adalah apa-apa sahaja yang berkaitan bidang kejuruteraan. Jadi kami telah memilih tajuk Islam dan Kejuruteraan untuk mengembalikan semangat pelajar-pelajar kejuruteraan agar merasa bangga dan sedar dengan kejayaan tamadun Islam dalam bidang ini.

Ini merupakan teks dalam kertas edaran kami kepada rakan-rakan sekelas. Tiada huraian panjang disediakan di sini. Harap maaf.
__________________________________________________________________

Tamadun Islam dan Kejuruteraan

Disediakan oleh:

Wan Dharmazaiman Fariz b W. Ghazali

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi


Pengenalan

-Tamadun Islam telah membuka lembaran baru dalam bidang penyelidikan dan penciptaan.

-Banyak teori-teori baru dan penemuan-penemuan baru telah berjaya diterokai semasa zaman kegemilangan tamadun Islam

-Antara tahun 750M-850M bermula aktiviti penterjemahan buku-buku Yunani dan Parsi

-Selepas tahun 850M bermulanya zaman penciptaan

-Tamadun Islam menguasai segala jenis bidang ilmu dan menjadi pusat penyebaran ilmu

-Terbinanya niversity, sekolah, pusat pengajian dan lain-lain lagi.

-Bidang kejuruteraan juga berkembang pesat semasa zaman kegemilangan tamadun Islam.


Tokoh-tokoh yang Mempelopori bidang kejuruteraan

1.Qutb al-din al-Shirazi

-Dalam bidang Fizik

-Menulis buku Nihayatul al-Idrak(sebelum Isaac Newton)

-Mengkaji tentang graviti bumi


2.Abu Raihan al-Biruni

-Menulis buku Rasa,ii al-Biruni(ensiklopedia&matematik)

-Mencipta jam dan kalendar

-Mencipta rumus trigonometri

-Mencipta alat sukat ketumpatan


3.Abu Ali Hasan al-Haitham

-Dalam bidang matematik dan fizik

-Menulis buku al-Manazir(fizik)

-Bapa optik moden

-Orang pertama yang memperincikan tentang bahagian mata


4.Al-Hazim Basri

-Membuat kajian tentang cermin

-Membuat teori tentang magnet

-Menulis kitab Mizan al-Hikmah


5.Ibnu Sina

-Pakar matematik

-Menulis buku al-Qanun fi Tibb,Syifa an-Nafsi(matematik,fizik)

-Membuat kajian dalam gerak kuasa vakum,cahaya dan panas



6.Abu Musa Jabir bin Hayyan

-Pakar dalam bidang kimia

-Berjaya membuat kajian tentang unsur-unsur racun hasil eksperimen


7.Al-Farghani

-Ahli astronomi yang terkenal

-Membat kajian objek di langit

-Berjaya menentukan ukur lilit planet

-Membuat kajian objek di langit

-Berjaya menentukan ukur lilit planet

-Menyelia projek pembinaan Great Nilometer di Fustat


Sumbangan Tamadun Islam Dalam Bidang Kejuruteraan

Bidang Fizik

-Gentian optik

-Kaca pembesar

-Kuasa magnetik/tarikan magnet

-Teori daya graviti

-Kuasa tenaga kekosongan(vakum)


2.Bidang Kimia

-Berjaya menganalisis sebahagian besar logam secara kimia.

-Berjaya membezakan asid dan alkali.

-Kesan tindak balas campuran.

-Mengenali unsur-unsur racun.

-Menggunakan kimia dalam bidang industri(tekstil)

-Menggunakan bahan kimia untuk samak kulit binatang,minyak wangi,dll

-Peluru bedil


3.Matematik

-Jam air

-Algebra


Pengeksploisitasian Penemuan Ilmuan Islam Oleh Saintis Barat

Ilmu kejuruteraan Islam dipindahkan ke Eropah melalui :

-Kedatangan orang Eropah ke Timur untuk mempelajari ilmu

-Melalui negara Islam Sepanyol

-Pemerhatian orang Eropah semasa Perang Salib di Timur

-Penterjemahan buku-buku kejuruteraan ke bahasa Inggeris


Orang-orang Barat menafikan sumbangan imuan Islam dalam pembangunan tamadun mereka

-Ketua pendeta membakar 80 000 buah buku arab ketika merampas kembali Sepanyol

-Tentera eropah menghancurkan universiti pertama di dunia- Universiti Cordova

Menafikan sumbangan ilmuan Islam dalam kemajuan mereka


Penutup

-Segala jenis ilmu kejuruteraan yang kita pelajari sekarang sebenarnya bertitik-tolak daripada perkembangan ilmu di zaman kegemilangan Islam.

-Pelajar kejuruteraan sekarang dikaburi dengan kemajuan teknologi dari Barat.

-Pelajar kejuruteraan Islam

perlu bangkit dan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuasaan Islam dalam bidang kejuruteraan.

_______________________________________________________________________________________________


Wassalam. .

Iktibar kemenangan Badar Kubra 17 Ramadan

Assalamualaikum w.b.t.

Puas merayau-rayau di blog-blog asatizah yang ada, rasanya elok benar jika dapat saya kongsikan bersama sebuah artikel yang menarik perhatian saya. Artikel ini berkaitan dengan peperangan Badar al-Kubra. Artikel ini adalah suatu kesinambungan bagi artikel saya sebelum ini iaitu "Badar al-Kubra!! Sediakah kita???".

P1040454

Kubur Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib, penghulu para Syuhadak, Singa Allah dan Singa RasulNya. Beliau berjaya membunuh beberapa saudara mara lelaki Hindun, isteri Abu Sufian didalam Perang Badar. (Foto: Bukit Pemanah, Uhud, Madinah).

Tanggal 17 Ramadan 624M, Allah swt mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kafir di pekan Badar, 150 km dari Madinah. Ia bukan sahaja salah satu kisah perjuangan Rasulullah saw, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam dan para Anbiyak ra sepanjang zaman. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para Duat sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.

Setelah umat Islam terpaksa berhijrah kerana agama, meninggalkan kampung halaman turun temurun, sanak saudara serta harta benda mereka di Mekah, Rasulullah saw tidak membiarkan kerugian ini berlarutan tanpa pembelaan untuk umat Islam dan pengajaran kepada kaum yang zalim. Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju ke Syam dimana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah saw merancang untuk merampas harta dagangan tersebut. Di Mekah dahulu, umat Islam diminta bersabar oleh Allah swt dalam menanggung derita, melalui ayat Al-Quran, “Wahai orang-orang beriman, tahanlah tangan-tangan kamu (jangan bertindak terhadap orang-orang yang menyiksa kamu), dan dirikanlah solat” (Al-Quran). Solat sahaja adalah tindakbalas yang boleh mereka lakukan apabila disakiti atau dianiaya oleh Quraisy.

Setelah Hijrah, turunlah ayat “Diizinkan (berperang) kepada yang diperangi kerana mereka dizalimi. Dan sesungguhnya Allah berkuasa memenangkan mereka. (Iaitu) orang-orang yang dihalau dari rumah-rumah mereka (di Mekah dll.) tanpa (alasan yang) hak, melainkan mereka berkata ‘Tuhan kami adalah Allah ” (Al-Quran). Umat Islam Muhajirin dizalimi dan kini Allah izinkan perang. Rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah saw menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.

Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang. Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad saw kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering. Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset. Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang. Bilangan mereka turut serta mencapai 313 orang kerana untuk memikul pulang ke Madinah harta rampasan dagangan, bukan untuk berperang, tetapi Allah mengatur dan mahukan mereka melawan 1000 tentera yang lengkap bersenjata untuk berperang. Demikian aturan Allah pada kali ini, lain dari kecenderungan dan harapan hamba-hambaNya di Madinah.

P1040458

Di Bukit Sala’, tempat berlaku Perang Khandaq dimana 3000 tentera Islam melawan 10,000 tentera Ahzab (Bersekutu Quraisy – Yahudi – Ghatfan dll). Arab Jahiliyyah tidak boleh mengumpul tentera lebih dari 10,000. Sebaik tamat Perang Ahzab dan Tentera Ahzab berpatah balik, Rasulullah saw mengisytiharkan fasa baru dalam Jihad Islami, dimana Jihad masul ke fasa Offensive dan bukan lagi Defensive. Selepas Perang Khandaq, tentera Islam pula yang mula membuat serangan-serangan dan memulakan peperangan !!! Di atas kepala saya, Masjid Fath (belum dibina semasa Perang Khandaq), tempat Rasulullah saw berdiri di atas batu memohon doa agar Allah swt memenangkan Tentera Islam mengalahkan Tentera Sekutu (Ahzab). Di bawahnya ialah Masjid Salman Al-Farisy (macam masjid berbatu bata), sempena nama Salman, sahabat yang cadangannya agar digali parit, diterima oleh Rasulullah saw.

Orang-orang Ansar Madinah pernah memeterikan Baiah Aqabah II untuk mempertahankan Rasulullah saw di Madinah, sedang pekan Badar berada di luar Madinah. Apabila rombongan dagang Abu Sufian berjaya bolos dan aman menuju ke Mekah, rombongan Islam seramai 313 orang tiada pilihan melainkan bertembung dengan 1000 tentera lengkap Quraisy di Badar. Jika orang-orang Ansar memilih untuk tidak menyertai perang tersebut kerana tidak termasuk dalam perjanjian, maka orang-orang Muhajirin sahaja yang akan berperang melawan tentera Quraisy, sedang bilangan mereka tidak sampai 90 orang. Bilangan Ansar ialah kira-kira 220 orang. Rasulullah saw tanya Abu Bakar As-Siddiq. Abu Bakar ra memilih untuk lawan dengan katanya, “Ajal“, bermaksud, “Ya (kita lawan)”. Umar Al-Khattab ra juga berkata, “Ajal“. Orang-orang Ansar asalnya diam sahaja sehingga Rasulullah saw meminta pandangan secara umum, “Asyiruni ayyuhannas (berilah pandangan kamu wahai orang ramai)”. Saad bin Muaz ra berkata, “Tuan seperti hendak pandangan kami ya Rasulullah!!”. Mereka senyap kerana mereka ikut sahaja apa keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw, bukan Badar tidak termasuk dalam Baiah Aqabah II. “…Pergilah kemana sahaja yang engkau mahu, kami akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kaum Musa as berkata kepada Musa (untuk memasukki Palestin), ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami hendak lepak di sini’, tetapi kami (orang-orang Ansar) berkata, ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami bersama kamu berperang !!!”. (Apabila Saad syahid selepas cedera di Perang Khandaq, Nabi saw menyatakan bahawa arasy Allah bergegar dengan kematian Saad). Mereka adalah sebaik-baik umat yang telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw sejak 15 tahun yang lalui, sebaik turun dari Gua Hirak. “Ya Allah !! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah !! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku”, begitu munajat dan doa Rasulullah saw sehingga jatuh kain selendang dari atas bahunyanya. Kebanyakan tentera Islam tidak bersenjata dan terpaksa menggunakan pelepah-pelepah tamar untuk melawan Quraisy yang berpedang. Kuda hanya 2 ekor yang ditunggang oleh Zubair bin Awwam dan Miqdad Al-Aswad berdepan dengan puluhan kuda Quraisy.

Perang meletus diakhiri dengan kemenangan dipihak Islam yang serba kekurangan disegi kelengkapan tetapi tinggi disegi keimanan dan keperwiraan. Allah swt mendatangkan hujan dan ngantuk sebagai keamanan bagi jiwa tentera Islam. Allah swt menurunkan Malaikat. Belum sempat pelepah tamar memukul mengena leher musuh, leher tersebut terpenggal dek pukulan Malaikat. “Penggallah diatas leher. Penggallah dari mereka semua ubun-ubun (atas kepala)” (Surah Al-Anfaal). Ghazwah Badar Al-Kubra meninggalkan berbagai pengajaran untuk kita para Duat dan umat Islam hari ini. Diantaranya ialah :

Pertama : Perang atau Jihad, sepertimana ia terdapat didalam Seerah dan terbentang didalam Al-Quran akan kewajipannya, ia adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan kearahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.

Hasan Al-Banna 01

“Sepertimana tingginya kemuliaan Dakwah ini dan luasnya ufuk jangkauannya, sebesar itu jugalah tuntutan Jihad dijalannya, sebanyak itu juga harga yang mesti bibayar untuk memenangkannya dan selebat itu juga pahala yang menunggu bagi orang-orang yang bekerja untuk Dakwah ini. “Berjihadlah kamu dijalan Allah dengan sebenar-benar Jihad” (Al-Quran). [Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin].

hamas-army1

Allah swt telah memenangkan Ikhwan Muslimin Palestin (HAMAS) mengalahkan Tentera Yahudi Israel dalam Perang 22 Hari pada Januari 2009 lalu. Hakikat kemenangan Badar Kubra berulang kembali dizaman ini, bahkan di tahun ini. Umat Palestin yang dikepung di Gaza (10km x 25 km) berjaya mengalahkan Tentera Israel yang didokong Amerika, Eropah, Rusia, Mesir dan sebahagian Negara-negara Arab.

Kedua : Didalam hidup ini, bahkan didalam perjuangan Islam, kadangkala kita menghendakki sesuatu tetapi Allah menghendakki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya. Allah swt yang memiliki Dakwah ini, Dia lebih tahu jalannya. Para Sahabat ra berharap dapat lawan 40 pedagang, tetapi Allah hendak mereka melawan dan mengalahkan 1000 tentera lengkap untuk berperang. Kita dituntut beriman, membuat persiapan sedaya mungkin, beramal semaksimannya, dan menyerah hasil amalan kita kepada Allah swt.

Ketiga : Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan ALlah itu lah yang menentukan kejayaan. Oleh itu asas penting dalam Dakwah ialah Tarbiyah kearah menghasilkan para Duat dan masyarakat yang Rabbani, bukan sekadar meramaikan bilangan pengikut dan licik mengatur strategi menentang lawan. Oleh itu Jemaah Islam adalah kumpulan manusia yang berhimpun diatas asas Tarbiyah. Tanpanya perkumpulan itu adalah seperti kelab, persatuan, parti, NGO, pertubuhan yang tidak banyak bezanya dari perkumpulan-perkumpulan yang telah sedia ada di mana-mana.

P1040503

Para Sahabiyat ra tidak kurang yang menyertai Jihad-jihad Islami bersuami mereka dan Rasulullah saw. Diantara mereka ialah isteri Rasulullah saw, Maimunah binti Al-Harith ra (foto di atas).

P1040504

Maimunah ra berkahwin dengan Rasulullah saw di Sarif, pinggir Mekah. Beliau isteri Nabi saw yang terakhir yang dikahwini oleh Baginda saw. Setelah wafat Rasulullah saw, Maimunah ra berdoa agar dia meninggal dan dikebumi ditempat mana dia berkahwin denganRasulullah saw. Walaupun semua isteri-isteri Nabi saw selepas Hijrah meninggal dunia dan dikebumikan di Madinah, suatu hari Maimunah ke Sarif, Mekah, jatuh sakit, meninggal dunia dan dikebumikan di sana (foto di atas).

Semoga setiap detik peristiwa sepanjang Perang Badar Al-Kubra tersemat didalam hati dan fikiran pemuda pemudi dan umat Islam seluruhnya, terutama dalam menghadapi serangan dan penjajahan Barat terhadap mereka yang saban hari semakin memuncak di zaman ini. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berperang, walaupun perang itu tidak kamu sukai. Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, sedang ia baik untuk kamu. Mungkin kamu suka suka sesuatu, sedang ia tidak baik untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Quran).

~sumber:
blog Ustaz Abdul Halim Abdullah
inijalanku.wordpress.com

Khas Untuk Orang-Orang Yang Berpuasa

Assalamualaikum w.b.t.

Talk dan Iftar Jamaie


Dengan segala hormatnya, anda-anda semua dijemput untuk menghadirkan diri ke Talk Mengimbau Memori dan Kegemilangan Ummah & Iftar Jamaie yang akan diadakan di LT2 Econs UIAM Gombak pada hari Khamis, bersamaan 10 September 2009 pada jam 6.00petang.

Makanan Iftar disediakan secara percuma, jadi kepad sesiapa yang berminat diminta menghubungi saudara Zaid - 0133564213 ataupun saudari Nurhuda - 0193774530 dengan seberapa segera untuk memastikan kehadiran anda.

Anda boleh juga menjemput rakan-rakan anda yang lain untuk hadir ke program ini.

Jadi, marilah kita sama-sama hadir ke program ini untuk kembali mengimbau kegemilangan umma kita pada suatu ketika dahulu agar ianya mampu menjadi pemangkin angin perubahan badar fasa terbaru.

Wassalam. .

Khas Untuk Pelajar Perubatan

Assalamualaikum w.b.t.

Iftar Medic Muslim


Merujuk kepada perkara di atas, anda semua(terutamanya insan yang berada di bidang perubatan) dijemput hadir ke IFTAR MEDIC MUSLIM yang akan berlansung pada 11 September ini di Dewan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Iftar ini diadakan untuk memberi peluang kepada para pelajar berkenalan dengan doktor-doktor Islam (tanpa perlu ke klinik atau hospital) dan menimba sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman dalam bidang perubatan.Tidak ketinggalan juga untuk mengeratkan lagi ukhuwwah sesama muslim,sambil menjamu pelbagai makanan dan juadah berbuka yang tidak perlu dibayar sama sekali. (Maksudnya,untuk hadir,tidak perlu bayar apa-apa).Bagi yang berminat,sila kirimkan sms pada nombor yang tertera di poster.

Jadi, buat semua Ibnu Sina alaf baru, sama-samalah kita menghadirkan diri ke program ini.

Wassalam. .

06 September 2009

Badar al-Kubra!! Sediakah kita???

Assalamualaikum w.b.t.

17 Ramadhan datang kembali..
Pada tanggal yang sama kira-kira 1428 tahun yang lalu, umat Islam telah menang buat pertaman kalinya ke atas kaum kuffar..

Dengan hanya 313 orang askar dan 2 ekor kuda yang pada mulanya hanyalah bertujuan menahan khalifah Abu Sufyan, dihumban bertemu 1000 orang askar kuffar siap dengan segala alatan.

Dengan keimanan dan ketaqwaan serta sifat tawakal yang mendalam terhadap Allah SWT, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak itu...

Itu dulu, 1428 tahun dahulu...

Sekarang???

. . .

Maka salah seorang bertanya : Apakah kerana kami sedikit ketika itu?

Nabi S.A.W. menjawab : Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir.

Dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'.

Salah seorang sahabat bertanya : Apakah wahan itu hai Rasulullah?

Nabi lalu menjawab : Cinta pada dunia dan takutkan kematian.

(Petikan Hadis riwayat Abu Daud)

. . . . .

Adakah kita bersedia menempuh gelombang Badar fasa baru??
Adakah kita bersedia memenangkan kembali Islam di muka bumi ini??
Adakah kita bersedia menempuh jalan-jalan jihad yang pasti penuh dengan onak dan duri???

Adakah???

Mulakan dengan diri sendiri..
Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di sekeliling kamu..

Ayuh!!!
Mantapkan diri, Kuatkan diri, menempuh jalan panjang penuh cabaran!!


~menyusuri kehidupan, Ramadhan 10 malam terakhir........

p/s- mesej di atas khas untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat lain yang memahami erti perjuangan sebenar..

Wassalam..

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP