Rapat Umum Solidariti di Kedutaan Turki
Assalamualaikum w.b.t.
Rapat Umum Soladiriti "End The Siege" Jumaat Ini.
Bandar Baru Bangi, 2 Jun – Satu Rapat Umum Solidariti menyokong peranan Kerajaan Turki dalam kempen menamatkan kepungan ke atas Gaza akan berlangsung di hadapan Kedutaan Turki di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2010 ini, mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang juga Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad.
Aman Palestin, ISMA dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah sepakat untuk menjalin kerjasama bagi menganjurkan rapat umum tersebut bersama NGO-NGO lain yang turut dijemput untuk ikut serta.
Rapat umum yang dirancang bermula jam 11.00 pagi dijangka akan turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama ahli dan sukarelawan.
Rapat umum ini bertujuan untuk menyatakan sokongan rakyat Malaysia terhadap pendirian berani yang ditunjukkan oleh kerajaan Turki di bawah kepimpinan Erdogan.
“Tujuan penganjuran Rapat Umum Solidariti ini ialah untuk menyatakan sokongan umat Islam di Malaysia kepada kerajaan Turki di atas usahanya membantu rakyat Palestin terutamanya isu sekatan terhadap Gaza”, jelas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA.
Menurut Abdullah lagi, rapat umum ini juga merupakan satu pernyataan penghargaan kepada para syuhada’ kebebasan Gaza yang telah mengukir sejarah dalam lembaran perjuangan menamatkan kepungan ke atas Gaza.
Abdullah mengutuk tindakan ganas Israel dan menyifatkannya suatu kebodohan strategi yang telah dilakukan oleh Tentera Laut Israel.
“Bagi saya tindakan ganas askar Israel ini suatu tindakan kebodohan yang tidak memberi manfaat dari aspek strategi jangka panjang Israel” tambah beliau.
Perhimpunan ini akan berakhir dengan penyerahan nota sokongan kepada Duta Turki ke Malaysia.
Oleh: Mohd Azizuddin Sahiddin
Wartawan/Jurufoto
Media ISMA
Wassalam . . .