25 May 2009

Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain

Assalamualaikum w.b.t.


Setelah sekian lama tidak menulis tentang buku-buku yang telah sudah saya khatamkan, maka dengan senang hatinya pada hari ini akan saya kongsikan dengan anda-anda sekalian sebuah buku bertajuk Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain karya Afareez Abd Razak Al-Hafiz.

Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana mungkin penulisan saya ini terlalu skema dan kaku kerana susahnya hendak saya ringkaskan buku yang penuh teperinci dan ilmiah ini. Mungkin saya terpengaruh dengan cara penulisan gaya ilmiah yang ditonjolkan oleh penulis buku ini, Afareez Abd Razak Al-Hafiz. Penulis ini telah berjaya mencetus idea dan membuat penyelidikan tentang Zulqarnain dan mendapat pengiktirafan di Greece serta mendapat sambutan menggalakkan di Iran. Hasil kajian ini sudah diterbitkan dalam bentuk dokumentari dan disiarkan di saluran Astro Oasis.

Buku ini berkisahkan tentang Raja Zulqarnain, yang mana kisah tentang raja ini disebut dalam al-Quran di Surah al-Kahfi bermula dari ayat 83 sehingga ayat 98. Secara ringkasnya, penulis buku ini membuat kajian tentang siapakah Raja Zulqarnain yang disebut-sebut dalam al-Quran itu. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Melayu kita mengaitkan Raja Iskandar@Alexender The Great sebagai raja yang digelar Raja Zulqarnain ini. Namun, penulis buku ini membawa kita ke satu perspektif berbeza dengan kajian-kajian yang dilakukannya.

Buku ini dimulakan dengan penceritaan tentang empat orang raja yang berjaya menakluk sebahagian muka bumi ini pada zaman masing-masing. Mereka adalah Raja Namrud, Raja (Nabi) Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Raja Zulqarnain.

Raja Namrud

Bab 1 yang bekisarkan tentang Raja Namrud ini dimulakan dengan penceritaan tentang sejarah manusia dari zaman Nabi Adam a.s. sehingga ke zaman pemerintahan dan latar belakang Raja Namrud. Seperti yang diketahui umum, Raja Namrud ini merupakan raja yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahin a.s. dan begitu menentang dakwah Nabi Ibrahim a.s. Secara ringkasnya Raja Namrud merupakan cicit kepada Nabi Nuh a.s. Nama penuhnya adalah Namrud bin Kush bin Ham bin Nuh. Dia juga merupakan orang pertama yang mengasaskan kerajaan sesudah peristiwa banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s.

Bab 1 in berlanjutan sehingga cerita tentang Nabi Ismail a.s., Nabi Lut a.s., Nabi Ishak a.s., Nabi Yaakub a.s. dan Nabi Yusuf a.s. Panjang dan teperinci sekali maklumat yang diberi sehingga tidak termampu saya menulis semuanya. Nak tahu lebih, kenelah beli sendiri (tumpang promote).

Raja (Nabi) Sulaiman a.s.

Bab 2 ini pula bermula dengan penceritaan tentang Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Buku ini juga mengkaji tentang siapakah Firaun yang terlibat di zaman Nabi Musa a.s. itu dengan teperinci sekali. Bab ini juga menyentuh tentang Nabi Khidir, Nabi Yushwa’, Nabi Syam’un, Nabi Daud a.s., dan seterusnya Nabi Sulaiman a.s.

Bab ini juga menceritakan tentang pertemuan antara Nabi Sulaiman a.s. dengan Pemaisuri kerajaan Saba, Bilqees binti Sharahil. Selain itu, diceritakan juga tentang kejatuhan Kerajaan Nabi Sulaiman a.s. buat seketika dan kewafatan baginda a.s.

Raja Bukhtanasar

Raja Bukhtanasar memerintah empayar Babylon pada tahun 605SM hingga 562SM. Beliau adalah raja yang bertanggungjawab membina Taman Tergantung Babylon yang merupakan salah satu binaan keajaiban dunia purba.

Bab ini juga menceritakan tentang Nabi Daniel dan Nabi U'zair yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 100 tahun. Untuk pengetahuan anda, Nabi U'zair inilah yang didakwa oleh orang-orang Yahudi sebagai anak Tuhan. Diceritakan dengan teperinci sebab-sebab mengapa Yahudi menganggap Nabi U'zair begitu.

Perbincangan Iskandar Bukan Zulqarnain

Bab ini mengupas dengan lebih mendalam tentang siapakah Zulqarnain ini dan asal-usulnya nama Zulqarnain. Pertama sekali diceritakan tentang siapakah itu Raja Iskandar. Beliau dikenali sebagai Alexender The Great dan dilahirkan di Macedonia(Greece). Juga dicerikan tentang salur-malur keturunannya dan cerita tentang dirinya.

Bab ini juga membawa kita mengenali seorang lagi raja yang berjaya di zamannya iaitu Raja Kurush. Beliau adalah raja yang menguasai kerajaan Parsi. Juga diceritakan tentang keturunannya dan cerita tentangnya.

Sebelum bercerita lebih lanjut, jom kita kenali apakah cirri-ciri Zulqarnain yang diceritakan dalam al-Quran.

Perjalannya ke arah terbenamnya matahari
Menerima wahyu daripada Allah iaitu memilih sama ada hendak mengazab ataupun membuat kebaikan
Perjalannya ke arah terbitnya matahari dan menemui kaum yang tiada perlindungan
Membina tembok menghalang Yakjuj Makjuj

Buku ini menceritakan dengan amat teperinci tentang siapakah sebenarnya Raja Zulqarnain ini berpandukan cirri-ciri yang tertulis dalam al-Quran.

Secara tuntasnya, setelah kajian mendalam yang dijalankan, penulis menyakini yang sebenarnya raja yang digelar Zulqarnain itu adalah Raja Kurush. Panjang, amat panjang dan teperinci sekali fakta-fakta yang diberikan oleh penulis.


Pengajaran utama yang boleh kita sama-sama dapati daripada buku ini adalah pentingnya kita mencintai sejarah. Dengan mempelajari sejarah, membolehkan kita memperoleh pengajaran daripada kisah-kisah silam.

Kesimpulannya, buku ini amat menarik sekali untuk dibaca oleh orang-orang yang betul-betul meminati sejarah dan bersedia mendengar pendapat-pendapat baru dalam bidang sejarah. Penulis juga berjaya menyampaikan fakta-faktanya dengan berkesan hasil dari cara penulisannya yang mudah difahami. Dan yang lebih mengagumkan, ketelitian penulis mencari fakta dari segala jenis ceruk sumber yang ada. Dari kitab-kitab lama Yahudi, buku-buku sejarah Yunani dan Macedonia seperti tilisan Herodatus dan lain-lain, buku-buku tentang ketamadunan dari Barat, dan semestiya dari pendapat-pendapat ilmuan Islam seperti Ibnu Kathir, Hamka, Abul Ala’ Maududi, Muhammad Asad dan lain-lain lagi. Hasil dari pendapat-pendapat yang berpunca daripada pelbagai sumber, dan ketelitian mengaitkan setiap satu fakta dengan fakta yang lain, maka boleh dikatakan buku ini sesuai untuk seluruh masyarakat umum tanpa mengira agama, bangsa dan negara.



Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain ditulis oleh Afareez Abd Razak Al-Hafiz dan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. Jadi, dapatkah nashkah anda di kedai-kedai buku berhampiran anda pada harga RM17.50(Semenanjung) dan RM19.50(Sabah/Sarawak).

Wassalam. .

Comments
0 Comments

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP