29 June 2009

Malas, Letih Dan Sengal

عن أبي عمرو وقيل أبي عمرة سفيان بن عبد الله قال: قلت یا رسول الله! قل لي في
الإسلام قولا لا أسأل عنه أحد غيرك. قال : قل آمنت بالله ثم استقم

Daripada Abu `Amru atau digelar juga Abu `Amrah Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.
(Riwayat Muslim)

Assalamualaikum w.b.t.

Hadis di atas merupakan salah satu hadis yang terkandung dalam Kitab Hadis Arba'in karya Al-Imam An-Nawawi. Mungkin ada diantara kita yang sudah biasa dengan hadis ini dan mungkin ada yang sudah menghafalnya serta selalu dituturkan dalam liqa, tazkirah dan lain-lain lagi.

Istiqamah menurut bahasa ertinya tetap teguh, terus menerus, konsisten atau teguh pendirian. Umar al-Khattab menjelaskan tentang istiqamah dengan berkata:

"Istiqamah itu tetap menurut perintah mengikuti perintah dan menjauhi larangan serta tidak menyimpang daripadanya"

Hadis di atas menunjukkan dengan jelas hubungan antara iman dan istiqamah. Istiqamah dapat menjadi indikator penting dalam menilai tahap keimanan kita terhadap Allah SWT.

Sungguh, ketika ini saya dilanda masalah untuk istiqamah yang amat dasyat. Mungkin peranan cuti yang menjelma membuatkan saya amat tertekan dengan serangan-serangan yang berjaya menggugat tahap istiqamah saya dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT. Di kala saya sedang leka membaca artikel-artikel tentang istiqamah, terdetik di hati saya untuk menulis dan meletakkan artikel tentang istiqamah dalam blog sendiri. Saya berharap selepas ini mudah bagi saya untuk mempebaharui tahap istiqamah saya setiap kali saya membuka blog saya sendiri. Juga sebagai perkongsian dengan anda-anda sekalian yang sedang berperang dengan masalah yang sama.

______________________________________________________________________________________

"Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut keterangan daripada Syarah Sahih Muslim:

"Amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan."

Hadis di atas dengan jelas, terang dan nyata menjelaskan bahwa amalan yang sedikit tetapi dilakukan dengan istiqamah lebih baik berbanding amalan yang banyak tetapi dilakukan secara kadang-kadang. Ini disebabkan amalan yang terputus boleh menyebabkan seseorang itu terleka daripada mengingati Allah SWT berbanding amalan yang sedikit.



Kadang-kadang saya terfikir, perlukah saya meninggalkan sesetengah amalan yang telah saya biasakan sebelum ini dan menumpukan hanya kepada beberapa amalan sahaja demi mengelakkan daripada saya tertinggal semua amalan. Antara amalan yang pernah saya fikir untuk ditinggalkan adalah menulis blog. Ya, menulis blog. Entah mengapa kadang-kala terdetik di hati saya untuk meninggalkan arena penulisan blog dan kembali fokus kepada beberapa amaln tertentu. Entahlah, mengapa secara tiba-tiba perasaan malas, letih, sengal dan bermacam-macam lagi menyerang ketika saya ingin melakukan sesuatu amalan yang pada ketika dahulu amat mudah dilakukan.

Saya pernah mengadukan masalah ini kepada seorang teman, dan jawapannya benar-benar menyentuh perasaan saya.

"Aizat, enta tau kan pasal istiqamah meter? Mungkin istiqamah meter enta dah penuh dalam melakukan ibadat ni, tapi syaitan takkan pernah biarkan enta senang-senang. Syaitan boleh menarik balik istiqamah meter enta. Dan syaitan juga boleh melajakkan istiqamah meter enta lebih daripada tahapnya, dan membuatkan timbul perasaan riak."

Riak! Ya, tidak saya nafikan pernah jua terlintas di hati ini yang "aku sudah baik", "aku dah tak macam dulu-dulu" dan macam-macam lagi perasaan yang terlintas di hati ini.

"Habis tu, macam mana ana nak buat untuk selesaikan masalah ni?"

"Itulah pentingnya niat. Mulakan setiap amalan dengan niat."

Akhirnya saya sedar, mungkin pada permulaanya saya memulakan amalan itu dengan niat, namun kerana sudah terbiasa dan tidak memperbaharui niat, ianya hanya menjadi 'adat' dalam kehidupan saya.

Teringat ketika mula-mula merajinkan kaki berjemaah di masjid UIA PJ. Tidak mudah melawan perasaan segan untuk menjejakkan kaki ke masjid yang sebelum itu hanya seminggu sekali menerima kehadiran saya. Namun dengan kefahaman dan niat yang bersungguh, saya berjaya membiasakan diri berjemaah di masjid. Namun pada akhirnya, kerana tidak memperbaharui niat, jemaah di masjid seperti suatu kebiasaan dan adat dalam kehidupan saya. Setiap kali terdengar azan berkumandang, kaki ini secara automatik melangkah ke masjid seperti tidak mempunyai tujuan yang jelas untuk berjemaah di masjid, dan tanpa niat yang jelas.

Kaitan Istiqamah dan Niat


عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ
صلى الله عليه وسلم یَقُولُ: إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كانت
هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ
یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْه

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini pula menekankan kepentingan niat dalam kehidupan kita. Tanpa niat, sesuatu amalan itu akan menjadi sia-sia dan hanya menjadi adat sahaja. Di zaman ini, berapa ramai umat Islam yang hanya solat sahaja kerana sudah menjadi kebiasaannya bersolat, lalu lahirlah orang Islam yang solat namun masih melakukan kemungkaran. Mungkin didikan dari kecil yang tidak memahamkan mereka tentang kepentingan solat melahirkan generasi begini.

Ops, terlalut seketika.

Memasang niat dapat membantu seseorang untuk kekal istiqamah dalam melakukan amalan-amalannya. Selalunya, kita tidak meninggalkan amalan kerana lupa, tetapi kerana malas, letih, sengal dan bermacam-macam lagi alasan yang direka. Dengan memasang niat tiap kali teringatkan amalan yang biasa kita lakukan, ia dapat memberi kita peransang dan menjadi pembakar semangat untuk tetap melakukan amalan tersebut walaupun dalam keadaan badan yang malas, letih dan sebagainya. Dan senjata yang paling utama sekali, tentulah niat melakukan amalan tersebut kerana Allah SWT.

Seorang sahabat saya ada mengatakan yang sahabat Rasulullah SAW dahulu adalah seperti saudagar niat. Setiap kali ingin melakukan sesuatu ibadah, mereka akan memasang bermacam-macam niat. Mungkin tidak dapat kesemuanya, namun pasti ada yang mengena. Sebagai contoh, niat kita ketika mula belajar adalah kerana Allah SWT, ingin menjadi jurutera Islam yang berjaya, ingin mengembalikan sinar Islam, ingin menunaikan fardu kifayah, ingin score dalam ujian esok, ingin menunjukkan qudwah yang baik dan macam-macam lagi. Tetapi, mungkin dia gagal dalam ujiannya esok namun dia telah menyempurnakan tuntutan fardu kifayahnya untuk belajar. Faham?? Tak faham buat-buat je faham.

Jadi, setiap kali terdetik di hati untuk melakukan ibadah yang biasa dilakukan dalam keadaan malas, letih, sengal dan lain-lain, cepat-cepatlah memasang niat yang baik sebanyak mungkin. Dengan itu, ia dapat membantu kita untuk melakukan ibadah tersebut.

Terdapat beberapa faktor lain yang dapat menjana sikap istiqamah dalam beribadat namun kerana sudah terlalu banyak saya menulis, saya hanya akan menyenaraikan faktor lain tanpa menghuraikannya.
  • ilmu yang mantap tentang ibadah tersebut
  • bersahabat dengan orang yang istiqamah
  • menghayati sirah orang-orang yang istiqamah
  • mujahadah melawan nafsu
  • doa memohon pertolongan Allah SWT
Akhir kata, harap-harapnya tulisan saya yang panjang lebar ini dapat membantu saya melawan serangan-serangan perasaan malas, letih dan sengal ini dengan sebaiknya. Moga saya tidak tewas dengan hasutan syaitan yang tidak akan pernah jemu menghasut keturunan Adam untuk menjadi peneman mereka di neraka kelak.

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari rasa susah dan sedih, aku berlindung kepadaMu dari rasa lemah dan malas, aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan kikir, dan aku berlindung kepadaMu dari lilitan utang dan tekanan orang lain"



~ Ingat, syaitan pun 'istiqamah' tau menghasut kita.

Wassalam. .

Comments
2 Comments

2 komen:

Anonymous 01 July, 2009 13:04  

ye istiqamah la dlm sume bnda.
be moderate.
that's what we call tawazun.

Anonymous 13 July, 2009 00:29  

Terima kasih atas post ni Aizat.

Terkesan ana baca..

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP