Muslimah..Sanggup ke bayar sebab bertudung??
Assalamualaikum w.b.t.
Artikel ini dipetik daripada Berita Harian hari ini, 27 September 2009..
Untuk artikel penuh, klik sini.
____________________________________________________________________
Idea karut ahli politik Belanda dianggap penindasan, sengaja mahu bebankan wanita Muslim
ANDA mungkin masih ingat dengan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang pernah mencetuskan kemarahan umat Islam tahun lalu dengan filem dokumentarinya bertajuk Fitna yang mendakwa bahawa al-Quran punca peperangan dan permusuhan manusia.
Terbukti, kebenciannya terhadap Islam dan umatnya sehingga hari ini belum reda. Pada pertengahan bulan ini, dia tergamak mengusulkan cadangan yang tidak masuk akal bahkan tidak mencerminkan dirinya bertamadun, pada sesi sidang Parlimen Belanda yang menggulung perbahasan bajet kerajaan bagi 2010.
Seperti dilaporkan laman web Eramuslim.com pada Khamis, 24 September lalu, pemimpin Partij voor de Vrijheid (PVV) itu mengusulkan wanita bertudung di Belanda dikenakan cukai 1000 euro (RM5,100) setahun!
Alasan ahli politik yang pernah dilarang ke Britain kerana filemnya itu kerana tudung bukan budaya Belanda dan simbol penindasan serta merosak pemandangan bermasyarakat. Cadangan cukai itu digelar Wilders sebagai kopvoddentax.
Subhanallah! Apakah yang akan terjadi jika cadangan ini diterima? Wanita bertudung mesti bayar cukai RM5,100 setahun. Akal sihat mana yang mahu menerima cadangan karut seperti ini.
Mujurlah di Parlimen Belanda masih ramai yang tahu menggunakan akal sihat. Ketua Fraksi Demokrat, Alexander Pechthold, pada mulanya tidak percaya dan bertindak memastikan apakah syor ini serius atau hanya jenaka. Jika serius, Wilders dipersilakan beredar dari ruang sidang seperti kebiasaannya selama ini.
Ketua Fraksi Parti Sosialis (SP), Agnes Kant, sebaliknya mengusulkan agar dikenakan cukai bagi bahan waterstofperoxide atau hidrogen peroksida (H2O2) yakni campuran kimia yang dipakai Wilders untuk mewarnakan rambut hitamnya menjadi perang kerana Wilders sendiri berketurunan Yahudi pada sebelah ibunya yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia ketika penjajahan Belanda. Oleh itu, rambut asalnya ialah hitam.
Kant menambah bagaimana dengan keppeltje atau kopiah penganut Yahudi, apakah pemakainya akan dikenakan cukai juga? Wilders agak tersentak, lalu menjawab keppeltje tidak termasuk dalam cadangannya.
Kant bertanya lagi, bagaimana dengan penganut Kristian dan Katolik di kota kecil dan desa yang masih ramai mengenakan tudung?
Wilders nampak tidak siap dan kurang penyelidikan dengan fakta ini, bahawa masih ramai penganut Kristian dan Katolik di Belanda yang bertudung.
Selepas berfikir seketika, Wilders menjawab yang dia hanya merujuk khusus untuk penganut Islam.
Mendengar jawapan ini ruang sidang Parlimen Belanda riuh rendah. Bagaimana undang-undang akan diluluskan jika hanya membabitkan sebahagian warga negara, manakala warga lain terkecuali?
Sementara Femke Halsema dari Groenlinks juga menanyakan bagaimana peraturan seperti itu boleh diamalkan? Ba-gaimana Wilders atau penguatkuasa undang-undang dapat membezakan pemakai tudung ialah umat Islam, Kristian atau Katolik? Apakah mesti diwajibkan polis khusus untuk memeriksa mereka yang bertudung dan menyoal siasat apakah mereka penganut Islam, Kristian atau Katolik?
Wilders tak dapat memberikan jawapan konkrit kecuali mengatakan peraturan itu akan menakutkan perempuan Islam.
Halsema menegaskan cadangan Wilders itu antikebebasan dan tidak sesuai dengan nama parti yang dipimpinnya. Cadangan itu satu penindasan, memaksa sebahagian warga negara untuk tidak bebas menggunakan haknya.
“Itu mirip di Iran. Di sana wanita dipaksa untuk bertudung dan anda akan memaksa mereka untuk tidak bertudung,” kata Halsema.
Demikianlah pembentangan hujah yang memanaskan Parlimen Belanda ketika semua umat Islam di seluruh dunia sedang menunaikan ibadat puasa pada penghujung Ramadan lalu.
_____________________________________________________________________
Jadi, macam mana gadis-gadis Islam di Malaysia ini?? Mahukah anda membayar cukai hanya disebabkan anda memakai tudung???
Oleh itu, menjadi tangungjawab anda-anda(gadis yang bertudung) untuk mengajak kawan-kawan di sekitar anda untuk bersama bertudug seperti anda..
Bagi yang tidak bertudung, aduh.... Tak kena bayar pun bertudung tau..
Dapat pahala lagi tu...
Hmm....
Ini saja artikel pendek di kala malas untuk menulis ini..
Wassalam . .