Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

01 November 2011

Fasa Baru Dalam Perang Pemikiran

Jika sebelum ini perang pemikiran disabitkan dengan budaya hedonisme, budaya kuning, pengaruh kehidupan ala-Barat, namun pada hari ini, saya melihat perang pemikiran ini dibawa dalam bentuk-bentuk ideologi yang pelbagai, bahkan kadang-kadang disambut pula oleh mereka yang memperjuangkan agama Islam di bumi kita.

Ini antara beberapa contoh serangan yang melanda umat Islam. Terutamanya golongan belia yang dikenali dengan golongan yang agresif dan bersemangat muda.

Sekularisme. Ini adalah antara serangan awal yang dibuat oleh musuh Islam kepada umat Islam. Memisahkan agama dalam kehidupan umat Islam. Antara kejayaan besar musuh Islam dengan senjata ini adalah meruntuhkan Khalifah Uthmaniah di Turki pada awal abad ke-19. Walaubagaimanapun, sekularisme yang jelas-jelas mengenepikan agama tidak mendapat sambutan hangat di negara kita kini, kerana umat Islam amat sensitif terhadap usaha mengenepikan agama secara total seperti ini.

Humanisme. Ini juga merupakan satu daripada pengaruh yang mula merebak di kalangan masyarakat kita. Atas nama hak asasi manusia, pelbagai tuntutan diminta oleh pendokong-pendokong fahaman ini. Saya kira, keberanian golongan pendokong hak asasi manusia-manusia yang bernafsu gay dan lesbian untuk membuat seminar di negara kita, adalah daripada kejayaan mereka dalam isu-isu hak asasi manusia sebelum ini yang disambut dengan sangat baik oleh umat Islam di negara kita. Jika dibiarkan, entah apa lagi 'Human Rights' yang akan dibawa oleh kelompok ini.

Sosialisme. Dalam sedar tidak sedar, pengaruh fahaman sosialis juga sedang marak merebak di kalangan umat kira, juga tidak terlepas di kalangan mahasiswa yang mengaku memperjuangkan kebangkitan suara mahasiswa. Bahkan, terdapat mahasiswa dengan beralasan 'Student Power', mendokong kefahaman sosialisme sebagai pahaman mereka dalam menggerakan mahasisawa di negara ini.

Pluralisme. Pengaruh pluralisme ini antara yang makin cepat merebak di negara kita. Bahkan, terdapat cerdik pandai dalam agama juga secara tidak sedar terbawa-bawa agenda pemikiran pluralisme. Menyamakan semua agama sebagai sama adalah contoh pluralisme yang nyata. Namun bagi saya, terlalu mengambil kira hak orang lain sehingga secara tidak sedar menjatuhkan ketinggian Islam juga satu daripada kesan fahaman pluralisme.

Liberalisme. Kini, terdapat pelbagai kelompok yang membawa isu hak sama rata di negara kita. Baik yang bertopengkan Islamiknya, mahupun yang bersama dengan fahaman-fahaman lain dalam memperjuangkan hak sama rata ini, Kononnya umat Islam tidak adil dalam beberapa perkara, dan lain-lain lagi isu yang dibangkitkan.

Ghuzwatul Fikr : Bilamana manusia 'dikawal' dari jauh oleh pihak lain.
Mungkin masalah ini tidak berlaku sekarang (atau kita yang tidak sedar), namun melihat kepada beraninya pendokong humanisme membawa ideologi mereka sekarang (www.seksualitimerdeka.org), mungkin jika kita biarkan fahaman-fahaman lain berkembang, kita sudah tidak mampu untuk menyekatnya nanti.

Saya merasa risau, bagaimanana ketika ini, ada di kalangan umat Islam di negara kita, mengaku membawa Islam tetapi dalam masa yang sama, membawa fahaman-fahaman ini bersama mereka. Saya kira ini adalah contoh kejayaan senjata baru musuh Islam, yang ingin melihat umat Islam sendiri secara  tidak sedar membawa fahaman mereka,dan meminggirkan secara perlahan-lahan ajaran Islam.

Cuba anda bayangkan, di zaman umat Islam sedang menghadapi Perang Salib dengan Kristian pada ketika masa dahulu, bangun seorang Islam yang kononnya bersama dalam perjuangan Islam, mengisytiharkan bahawa beliau menyokong dan mendokong fahaman Kristian dalam mentadbir kerajaan dan dunia. Pasti dia akan dipandang sebagai musuh bukan? Kini, ia seperti berulang lagi. Namun dalam satu bentuk yang lebih halus, bukan lagi fahaman dari sudut agama, tetapi dari sudut cara fikir umat Islam.

Adakah dalam Islam tidak ada hak manusia, tidak ada semangat pembaharuan, tidak ada hak sama rata? Yang pasti, tiada jalan tengah di antara syariat dan keinginan!

"Tiada manhaj altenatif bagi orang yang beriman untuk dipilih salah satu atau dicampurkan antara satu sama lain. Tidak sekali-kali. Barangsiapa yang tidak masuk Islam secara keseluruhannya, tidak menyerahkan dirinya secara ikhlas kepada pimpinan Allah dan syariatnya dan tidak membebaskan diri dari tasawwur, konsep, manhaj dan syariat yang lain, sesungguhnya dia mengikut jejak langkah dan melalui jalan syaitan"
(As-Syahid Syed Qutb : Fi Zilal al-Quran, Juzu' 2, m.s. 142)

Ayuh belia, jangan biarkan darah muda, semangat muda kita dikuasai oleh pihak lain. Jangan biarkan kita dipandu oleh mereka yang tidak di jalan Islam. Jangan serahkan kefahaman dan kesetiaan kepada mereka yang tidak membawa Islam, kerana pasti satu hari nanti, mereka inilah yang akan menghancurkan Islam.

Nota :
Untuk bacaan tambahan:
1. Kata pengantar Dr. Amien Rais dalam buku Khilafah dan Kerajaan karya Syeikh Abdul A'la Maududi
2. Bab 1 : Kita Menolak Hawa Nafsu, Muntalaq karya Syeikh Muhammad Ahmad ar-Rashid

09 October 2011

Kawan Uighur Saya (Part 2)

Pada 7 Oktober lalu, kawan Uighur saya telah pergi meninggalkan bumi Malaysia. Beliau telah membuat keputusan mengejut ke Turki untuk meneruskan kembara mengejar ilmunya. Di sana beliau akan menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan.

Sedih, mengenangkan entah bila agaknya dapat kembali untuk saya bertemu dengannya. Sekejap berkenalan dengannya, membuatkan Uighur terasa dekat di hati saya. Walaupun berbeza bahasa, rupa dan budaya. Walaupun selalu di'pangkah' olehnya, namun di sebalik itu, ikatan ukhuwwah Islamiyah yang ada adalah sangat berharga.

Saya masih ingat saat pertama berkenalan dengannya, ketika sekitar bulan Januari lalu, beliau menegur saya ketika berada di Musolla Ali, dan meminta mengajarnya Al-Quran. Semenjak itu, bermulalah hubungan antara saya dengannya, hubungan antara dua negara, berakidah yang sama.

Saya tahu, dia tak akan pernah baca tulisan saya ini (dia tak tahu Bahasa Melayu), namun banyak yang saya belajar walaupun sekejap perkenalan dengannya.

Jawapannya ketika saya bertanya kepadanya, adakah anda akan kembali ke Malaysia? 

"Yes! I will. I hope when I come back, Malaysia is more Islamic. You have to make Malaysia more Islamic after this."

Ya, tempat yang berbeza, cara yang berlainan, namun harapan yang sama! Islamisasikan dunia!

Terima kasih buat Kawan Uighur Saya - Aideham kerana persahabatan ini. Juga terima kasih untuk roti Uighur yang keras itu, untuk daging masak Uighur yang dibawa dari Uighur, dan juga, yang paling akan mengesani saya, baju rasmi lelaki Uighur, "Kanway" yang dihadiahkannya sebelum meninggalkan Malaysia.

Maafkanlah rakyat Malaysia yang merampas hak anda di tempat kerja, yang menahan gaji anda, yang menghalau anda ketika berurusan di pejabat, yang tak habis-habis segalanya pasal duit, dan yang bermacam-macam lagi ini.

Katanya, walau di Uighur tak nampak Islamnya, tapi Islam tetap di dalam hati mereka. Di Malaysia, Islamnya macam-macam, tapi tiada dalam hati.

Kanway - Baju kaum lelaki Uighur
Moga-moga selepas ini, Muslim Uighur dapat menzahirkan Islamnya mereka, dan juga moga-moga kita Muslim Malaysia dapat menghidupkan Islam di hati kita. Yang penting, USAHA!

~Kawan Uighur Saya (Part 1), tekan sini.

31 August 2011

Kawan Uighur Saya

Saya ada kawan, dari wilayah Uighur dalam negara China. Kita gelarkan beliau sebagai En. I.

Di negara beliau, masyarakat Uighur ditindas habis-habisan oleh kerajaan China, kerana mereka adalah komuniti Muslim yang berada di dalam negara China. Atas sebab itu, mereka amat tidak suka kepada penduduk China. Mereka berasal dari susur galur yang sama dengan bangsa Turki dan sangat berbangga dengan kehebatan kerajaan Turki Uthmaniah suatu masa dahulu.

En. I ini pula datang ke Malaysia kerana ingin belajar bahasa Inggeris sebelum meyambung pengajian di Turki dalam jurusan perubatan. Bahasa Inggerisnya boleh saya katakan sebagai kosong kerana En. I tidak menggunakan bahasa Inggeris semasa belajar di sekolahnya. Tidak memilih Korea mahupun Jepun kerana di sana banyak orang kafir katanya. Juga tidak menyukai penduduk Cina di negara kita. Ilmunya tentang Islam biasa-biasa sahaja, tetapi cintanya pada Islam agak menebal. (Mungkin tekanan kerajaan China kepada agama Islam membuatnya mempunyai semangat Islamik yang tebal) Saya berjumpa dengannya di UIAM ketika mana dia baru saja tiba ke Malaysia, tiba-tiba datang kepada saya di surau dan meminta saya mengajar membaca Quran. Mulanya kami terpaksa berkomunikasi menggunakan aplikasi google translate.

Sembang punya sembang, ada beberapa perkara yang menarik. Katanya, US & kuasa Eropah banyak membantu bangsa Uighur untuk terus hidup. Kononnya bilamana China bermusuhan dengan US, US akan menyokong segala bentuk anasir yang mampu menyusahkan China. Dan bangsa Uighur adalah salah satu daripadanya. Saya nyatakan yang US pasti punyai agenda tersendiri, jangan terpedaya. Tetapi katanya itu lebih baik daripada negara Islam yang hanya pandai bercakap, namun tidak mampu menggerakkan apa-apapun. US telah banyak membantu bangsanya untuk terus bertahan daripada dihancurkan oleh negara China.

Gambar kanak-kanak Uighur. Ihsan daripada En. Google.
Di Malaysia pula, katanya bukan main Islamiknya. Tetapi ekonomi dipegang oleh bangsa Cina. Baru-baru ini hantar rakyat Uighur pulang, tetapi kenapa berikan kepada kerajaan China? Sudahlah tidak membantu perjuangan umat Islam di Uighur, malah menambahkan luka lagi.

Menjelang Hari Raya pun bermain mercun macam bangsa Cina!

"You talk talk about Islam, but your people play boom boom same like Chinese!"

Saya terdiam. Ada yang saya tidak setuju, tapi banyak juga yang saya setuju. Sekurangnya sebagai satu peringatan bersempena Aidilfitri & Hari Merdeka ini.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI! Taqaballahu minna wa minkum.

SELAMAT HARI MERDEKA! Moga kita benar-benar 'merdeka'.

05 July 2011

Mencari Keyakinan Diri

Dunia kita sekarang makin canggih, makin maju. Kadang-kadang, benda yang tak pernah kita fikirkan pun boleh terjadi dan difikirkan oleh orang lain.

Dua tiga menjak ni baru saya dapat tau, bahawa senamtari dan senamrobik beramai-ramai lelaki dan perempuan dapat meningkatkan keyakinan. Saya terfikir, celah mana keyakinan yang dapat ditingkatkan itu? Saya makin keliru, makin haru. Kalau alasan untuk dapatkan tubuh badan yang sihat, dapatlah juga diterima akal, tetapi kenapa keyakinan diri yang dijadikan alasan?

Saya kembali berfikir, adakah keyakinan itu datang kerana kita telah meng'expose'kan diri kita di khayalak umum dengan jayanya? Dengan lenggak-lengguk senamrobik dan chicken dance itu? Tambahan lagi bila ada manusia lain jantina, bertambahlah keyakinan kita? Jika jawapan ini ya, apa bezanya manusia yang berbogel kononnya untuk membina keyakinan dan untuk mendapatkan rasa yakin pada diri? Sama-sama expose juga bukan?

Antara cara ayam meng'expose'kan dirinya di khayalak umum. (Gambar hiasan)

Bagi saya, keyakinan akan hadir jika anda yakin pada agama anda. Yakin, bukan sekadar percaya. Yakin yang akan membawa anda untuk menjadi yang terbaik dikalangan yang baik, menjadi terhebat dikalangan yang hebat. Yakin iaitu beriman kepada segala hal baik zahir mahupun batin yang telah ditentukan oleh agama kita.

Dan akhirnya, sama-sama kita renungkan hadis daripada Ibnu Umar r.a. ini
"Malu itu sebahagian daripada iman."
(Riwayat Muslim & at-Tirmidzi)

Jika tanpa rasa malu dalam diri, bagaimana iman akan dipenuhi? Tanpa iman dalam hati, masakan keyakinan datang meliputi?

31 May 2011

Parlimen Belia - Nafas Baru Kepada Belia?

Bersempena dengan Sambutan Hari Belia yang lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk golongan belia. Antaranya adalah penubuhan satu parlimen yang dikhaskan untuk belia sahaja. Belia-belia ini akan menjadi suara belia dalam mengemukan sebarang cadangan kepada kerajaan. Sejurus selepas itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar had umur belia di parlimen itu adalah 25 tahun dan ke bawah.

Hal ini membuatkan saya terfikir, adakah belia di negara kita, yang berumur 25 tahun dan ke bawah bersedia untuk diberi kedudukan sebegini rupa? Maaf, bukan niat di hati saya untuk menafikan kebolehan belia-belia kita. Namun, realitinya menunjukkan belia kita masih belum cukup matang dalam membuat keputusan.

Bagi saya yang juga seorang belia, majoriti belia di bawah umur 25 tahun (berpelajaran tinggi mahupun tidak), masih keanak-anakan dalam mebuat keputusan. Banyak perkara yang bermain di minda golongan ini adalah hiburan dan keseronokan semata-mata. Mengapa tidak? Lihatlah aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh belia kita di seluruh negara, hampir kebanyakannya berpaksikan hiburan semata-mata.

Walaubagaimanapun, saya tetap gembira melihat belia di negara kita yang mula terlibat dalam aktiviti kemasyaratan, bersukan, rekreasi dan lain-lain lagi. Ini jauh lebih baik daripada hidup umpama mayat yang tidak mengisi waktunya melainkan berbaring dan mengenang diri sendiri. Namun begitu, jauh di sudut hati saya, saya amat berharap agar belia di negara berupaya menjadi sebab kemajuan negara, bangsa dan khususnya agama kita.

Saya bagaikan terbayang-bayang belia di zaman sebelum merdeka dahulu yang sanggup berjuang mempertahankan tanah air. Menyertai Rejimen Askar Melayu, dan bermacam-macam lagi untuk mempertahankan tanah air. Juga terkenang pemuda-pemuda sepertimana Hasan al-Banna yang berjuang membawa ideologi Islam dalam usia yang muda. Juga di zaman kesultanan Melayu Islam Melaka dahulu yang menghalang Siam menyerang negeri Islam Melaka. Sultan Muhammad al-Fatih, Salahudin al-Ayubi, Muhammad b Kassim, Usamah b Zaid dan lain-lain sahabat mulia Rasulullah SAW yang masih muda belia, namun sudah memberi sumbangan yang cukup besar untuk sesebuah negara, bangsa dan agama.

Semoga dengan penubuhan parlimen belia ini, bukan idea-idea mengarut seperti menganjurkan konsert artis Korea, konsert terbuka artis Barat, futsal berpuluh-puluh jam, ataupun bukan hanya belia yang hebat dan petah bercakap berdentum-dentam di mulut, namun tidak pada perlaksanaan apatah lagi daripada hati yang akan lahir. Sama-samalah berdoa moga-moga ia dapat memberi kesan positif kepada belia kita yang sudah semakin parah ini.

Ayuh kita hayati kata-kata azimat daripada Rasulullah SAW yang kita cintai berkaitan pemuda ini :

Sebaik-baik perangai orang muda adalah mereka yang meniru gaya hidup orang tua (berpemikiran matang), Manakala seburuk-buruk perangai orang tua adalah mereka yang meniru gelagat orang muda.
(Riwayat Abu Yu'la & Al-Tabrani)

Semoga lahirnya kembali belia berjiwa cekal, berpemikiran matang, menghabiskan waktu mudanya dengan berkhidmat untuk agamanya, sabar dalam dirinya, dari negara kita tercinta, Malaysia!

21 May 2011

Rokok & Tandas

Dua tiga hari lepas, saya mula terfikir tentang sesuatu. Kenapa pelajar-pelajar yang tinggal di hostel mahupun asrama, minat betul untuk menghisap rokok di dalam tandas asrama? Saya pasti perkara ini adalah perkara biasa yang dapat kita lihat di persekitaran kita.

Tolak sekejap cerita tentang bahaya rokok, saya mula terfikir, bagaimana boleh perokok-perokok ini merokok di dalam tandas yang terkenal dengan tempat yang kotor. Meletakkan sesuatu di bibir, dalam masa yang sama sedang membuang najis! Eeiiii..!! Sungguh menjijikkan. Bagi saya ia seumpama anda sedang menghisap lolipop di dalam tandas. Jijik bukan?

Fikir punya fikir, akhirnya saya membuat keputusan untuk bertanya soalan ini terus kepada perokok-perokok ini. Dan ini adalah sebahagian daripada jawapan mereka :)

Komen setelah dibuang komen lain yang dirasakan tidak menarik. (Identiti pengomen terpaksa dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu)
Antara yang boleh masuk akal adalah disebabkan asrama adalah zon  larangan merokok, dan tandaslah tempat selamat untuk mengelak daripada dicekup oleh warden. Yang paling menarik adalah untuk cover bau tandas yang sangat busuk.

Ini pula merupakan pendapat peribadi saya tentang hal ini :
  • Merokok membahayakan kesihatan. Silalah berhenti merokok. Ia juga adalah haram di sisi Islam dan merugikan wang anda.
  • Sila jaga kebersihan tandas kita. Pesanan ini kepada perokok yang buang puntung merata dan juga mereka yang tidak berhemah dalam menggunakan kemudahan tandas di asrama.
  • Sistem paksaan bukanlah sistem terbaik dalam mengubah sesuatu perkara. Manusia sentiasa bijak mencari ruang lain dalam sistem yang ketat. Kesedaran bertunjangkan ilmu adalah kunci segalanya.
  • Sila hormati kondisi manusia lain yang sangat benci dengan asap-asap rokok. Hisaplah rokok di dalam plastik agar anda tidak mencemarkan udara yang kami hirup ini, dan kemudia telan semua asap-asap rokok itu berseorangan.
Untuk keterangan lanjut mengenai rokok, klik sini.

25 December 2010

Qasidah Buat Laila - 'Dakwah' versi Malaysia

Ketika sedang berada di rumah, saya tertarik dengan sebuah drama Astro Oasis bertajuk Qasidah Buat Laila. Masakan tidak, sekian lama drama-drama Malaysia bergelumang dengan dunia-dunia korporat, kisah hidup mat rempit dan bermacam-macam lagi, tiba-tiba ada sebuah drama yang menunjukkan hero drama Malaya, Fahrin Ahmad bersama dengan seorang wanita berpurdah. Ini terus menarik saya untuk menonton drama arahan Erma Fatima itu.

Qasidah Buat Laila di Astro Oasis
Ceritanya boleh tahan, tentang seorang gadis yang belajar di Madinah lakonan Noor Hafiza Saharuddin (Fifi), yang sedang bercuti, seorang yang sangat menjaga diri. Lantas membuatkan seorang lelaki metroseksual seperi Fahrin Ahmad tertarik dan berusaha untuk mengenalinya.

Saya tidak berminat untuk bercerita tentang drama ini. Tambahan lagi drama ini merupakan drama bersiri yang bersambung-sambung. Saya cuba untuk menerima cara berdakwah yang digunapakai oleh drama tersebut, dengan menampilkan Fifi sebagai seorang wanita yang cukup baik, solehah dan bermacam-macam lagi, membuatkan lelaki tertarik. Saya juga cuba untuk menerima drama itu sebagai sebuah drama dakwah walaupun ada beberapa benda yang tidak selari dengan syariat Islam, tetapi diketengahkan sebagai Islamik dalam drama tersebut. Sebagai contoh,ketika mana Fifi dan Fahrin berdua-duaan di perkarangan rumah ketika mana ibu bapa mereka berjumpa dan bersembang di dalam rumah. Dengan selambanya adik kepada Fiif mengatakan time's up, seolah-olah situasi itu dibolehkan untuk suasana yang sekejap. Walaubagaimanapun, situasi ini jauh lebih baik berbanding drama-drama Melayu yang lain. Jauh lebih baik berbanding babak bersama di dalam bilik ataupun lain-lain tempat.

Namun, yang membuatkan saya kecewa, adalah babak-babak di kelab malam, yang bagi saya tiada nilai untuk diketengahkan. Hal ini terus membuatkan saya terfikir, adakah drama/filem dakwah Malaysia, perlu mengenengahkan keburukan-keburukan di kalangan masyarakat kita, sebelum sesuai menjadi drama/filem dakwah?

Hal sama berlaku sebelum ini dalam filem dakwah tempatan, Syurga Cinta. Babak-babak di kelab malam, wanita-wanita seksi, diperagakan di dalam filem itu, bersama-sama watak wanita solehah. Baru-baru ini, filem dakwah kedua Ahmad Idham, Aku Masih Dara juga mengenengahkan konsep yang sama. Boleh baca tentang filem ini di blog kawan sekolah saya yang telah menonton filem tersebut, Yusoff Abd Rahman. Babak-babak di kelab malam, wanita seksi, seperti satu tarikan seksual untuk menarik penonton melihatnya.

Dan hal yang sama berulang lagi dalam drama ini. Bahkan bagi saya lebih menjengkelkan. Satu babak menunjukkan wanita berpurdah, wanita berzikir, dan satu babak lagi menunjukkan wanita sedang menari dengan melampau di kelab malam. Di kala baru merasa ketenangan melihat drama di Malaysia dihiasi dengan wanita berpurdah, tiba-tiba terasa tercabut kornea mata melihat babak menjolok mata, dalam drama yang sama. Sehinggakan pihak Astro Oasis terpaksa meng'sensor'kan bahagian-bahagian tertentu, kononnya untuk menjaga pandangan orang yang menonton siaran mereka.

Saya faham, itu adalah realiti muda-mudi kita. Namun adakah kesemua muda-mudi kita selalu sangat berkelab malam seperti itu? Sehingga menjadi seperti satu kewajipan mengenengahkan babak-babak itu dalam sebuah filem/drama dakwah.

Bukan saya ingin memuja, tetapi lihatlah bagaimana filem dari Indonesia, Ayat-Ayat Cinta, juga sebuah filem berusurkan dakwah, mendapat sambutan yang sangat-sangat menggalakan, tanpa perlu membongkarkan masalah-masalah sosial, mahupun menggunakan unsur-unsur seksual sebagai penarik. Juga filem Ketika Cinta Bertasbih, dan drama bersirinya. Tidak perlu menyelang-nyelikan babak antara babak Islamik dan babak-babak ranjang.



Owh, hampir terlupa. Tidak semua drama dakwah Malaysia seperti itu. Bahkan sebelum ini kita berjaya menghasilkan drama bersiri yang sangat baik iaitu Cinta Madinah. Garapan situasi di Madinah, membuatkan drama tersebut sangat menarik dan baik untuk ditonton.

Pelakon utama Cinta Madinah satu ketika dahulu - Wardina Safiyyah
Akhir kata, jika anda ingin melihat filem pendek Islamik yang berunsurkan dakwah (Dan juga tidak berunsurkan percintaan), anda boleh melihat drama-drama di bawah. Arahan dan lakonan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang berada di Mesir.

Korban

Antara Dua

Keputusan

~Boleh baca blog Fifi tentang drama lakonannya, di sini.

13 November 2010

Sukan Asia - Malaysia 3, China 0

Tiga kad merah. Sangat tidak boleh diterima akal melihat 3 pemain pasukan Malaysia dibuang padang semasa perlawanan ketiga Sukan Asia antara Malaysia dan China, tuan rumah Sukan Asia. Pengadil daripada Australia yang memberi tiga kad kuning 'lawak' kepada pemain Malaysia, sangatlah tidak adil.

Bayangkan, hampir keseluruhan pemain Malaysia mendapat kad kuning, namun yang ramai tercedera juga daripada pemain Malaysia sendiri. Sangat tidak boleh diterima!

Ya, inilah permainan bola sepak. Bola itu bulat kata orang. Namun pengadil yang tidak bulat juga mampu merosakkan suasana permainan tersebut.

Maaf jika post kali ini dilihat seperti tidak mempunyai apa-apa nilai, namun ini adalah luahan hati peminat bola sepak tempatan. Biarlah apa kata orang, namun saya bangga untuk menyokong pasukan kebangsaan saya sendiri.

Mungkin ini antara pengajaran yang boleh dikongsikan:
  • Setiap manusia, tidak kira Muslim atau tidak, haruslah mempratikkan sikap adil. Bahkan seharusnya tangungjawab untuk menjadi adil itu terletak di setiap bahu Muslim. Berusahalah untuk bersikap adil seadil -adilnya.  
  • Setiap manusia, juga terutamanya orang Muslim hendaklah sentiasa bersabar dengan pelbagai cubaan dan dugaan. Kagum saya melihat K. Rajagobal tadi yang dilihat mengarahkan pemainnya untuk bertenang dan bersabar. 
  • Kuatkan tubuh badan kita, terutamanya seorang Muslim kerana tubuh yang sihat memberi akal yang cerdas. 
  • Ini khas untuk Muslim, tidak ada ruginya meninggalkan sekejap perlawanan secara lansung tadi untuk bersama-sama menunaikan solat Isya secara berjemaah di awal waktu. Hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit. 
  • Tidak ada salahnya kita memiliki sikap cintakan tanah air (patriotisme). Dalam Majmu' Rasail, di bahagian Dakwah Kita - Pendirian Kita Terhadap Aliran Fahaman Lain, Imam Hasan al-Banna juga tidak membantah semangat patriotisme asalkan yang bersempadankan akidah Islam.

03 October 2010

Sensitif atau Tidak ? ?

Jika dilihat, masayarakat Islam di Malaysia ini tidak kurang juga pekanya dalam isu mempromosi arak dan judi ini. Iklan-iklan arak dan judi tidak dibenarkan dipampang di kaca televisyen tanah air. Bahkan, jersi pasukan bola sepak Liverpool sebelum ini yang menggunakan syarikat arak Carlsberg sebagai penaja di jersi itu terpaksa diubah, semata-mata untuk memenuhi kehendak peminat Muslim pasukan Liverpool.

Namun, dalam masa yang sama, kebanyakan masyarakat Islam tidak sedar yang penaja kepada pasukan Real Madrid pada musim ini, iaitu bwin adalah sebuah syarikat perjudian di alam maya.

Laman web rasmi, bwin.com
Jika sebelum ini, kita mampu sensitif dengan jersi Liverpool yang mempunyai logo Carlsberg, sekarang rasanya elok kita tinggalkan juga jersi Real Madrid yang sangat gah itu, atau mungkin kita reka jersi Real Madrid yang tidak memaparkan logo bwin di hadapannya.

Jersi Real Madrid yang terbaru
 Soalnya,

 Sensitif atau tidak?

10 September 2010

Selamat Hari Raya

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN 

Moga bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun hadapan.

"Taqabbalallahu minnan wa minka"
(Moga Allah menerima (ibadat yang dikerjakan) dari kami dan dari anda)

31 May 2010

Berusahalah demi Gaza ! !

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini, kita dikejutkan dengan serangan tentera Israel Laknatullah ke atas kapal yang membawa misi kemanusiaan membantu rakyat Gaza. Lebih kurang 20 orang sukarelawan telah terbunuh dan berpuluh-puluh lagi disahkan cedera. Sekarang, kapal itu sedang ditunda oleh pihak Israel dengan membawa bersama aktivis-akitivis kemanusiaan yang lain.

Malaysia juga turut terlibat sama dalam misi menghantar bantuan ini kepada Gaza. Seramai 12 orang rakyat Malaysia turut bersama-sama aktivis kemanusiaan lain yang terdiri daripada masyarakat seluruh dunia.Selain mereka, terdapat juga terdapat ahli parlimen dari Eropah, kanak-kanak, orang tua, wanita di dalam kapal tersebut. Semuanya tidak bersenjata.

Itu kisah mereka, menggadaikan nyawa untuk membantu rakyat di Gaza. Ingat! Tidak kesemuanya beragama Islam. Mereka ke sana atas dasar kemanusiaan, simpati terhadap nasib rakyat Gaza yang terkepung di tanah air sendiri. Jiwa manusia mana yang tidak tersentuh mendengar khabar bahawa mereka di Gaza tidak mempunyai tempat tinggal akibat dibom. Jiwa mana yang tidak tersentuh mendengar mereka sudah ketandusah bekalan makanan.

Itu kisah mereka.

Bagaimana kita di sini? Masihkah hanya menyalahkan negara Arab yang tidak membantu? Masihkah hanya melihat dan tidak mengambil apa-apa tindakan? Bukan kita tidak tahu kekejaman Israel selama ini, tapi ada pernah kita kisah?? ADA PERNAH KITA KISAH??

Orang-orang bukan Islam pun prihatin terhadap nasib mereka di Gaza, apakah kita yang mengaku beragama Islam, hanya melihat saudara kita di Gaza dibantai?

Ayuh! Lakukan sesuatu semampumu. Hayatilah, selamilah, kesengsaraan mereka di sana. Lalu bertindaklah sedaya-upayamu..
Paling mudah, BOIKOTlah barang-barang yang membantu menjana pendapatan ekonomi Israel.

Namun, tidak logikkan jika orang yang masih tidak sempurna bilangan solatnya, tidak menutup auratnya, masih be'ringan-ringan' dengan pasangan masing-masing, masih berpegang-pegangan tangan dengan orang yang haram disentuh, masih ke kelab malam, dan lain-lain lagi, mengaku cintakan saudara di Gaza. Logikkah jika dengan peribadi seperti ini, mengaku sanggup berjuang ke bumi Gaza?

Usaha paling utama yang harus dilakukan adalah perbaikilah dirimu, nescaya usaha-usaha lain akan menyusul dengan sendirinya.

Seorang Muslim yang sebenarnya pasti akan cintakan saudaranya, pasti prihatin nasib saudaranya, pasti akan membantu sedaya-upaya saudaranya. Semuanya bertunjangkan iman kepada Allah SWT dan hubungan persaudaraan sesama Muslim.

Mulakan dengan diri sendiri, dalam masa yang sama bantulah mereka yang memerlukan.

Tiga langkah mudah demi membantu Gaza

  1. Perbaikilah diri sendiri. Berusahlah menjadi seorang Muslim yang sejati
  2. Peduli dan prihatin dengan nasib saudara kita di Gaza
  3. Bantu dan fahamkan orang lain tentang apa yang berlaku di Gaza
Demi Gaza! Berusalah demi Gaza ! !

Wassalam. . .

13 May 2010

Kisah Pra-Piala Dunia

Assalamualaikum w.b.t.

Bola bola bola. Demam Piala Dunia nampaknya semakin melanda masyarakat sedunia termasuklah di negara kita, Malaysia, yang tidak pernahpun layak menyertai Piala Dunia walaupun sekali. Buku-buku tentang Piala Dunia, jersi-jersi pasukan bertanding (termasuk yang dijual oleh saudara Abdul Rahman Fauzi - klik sini), malahan pakej-pakej murah barangan eletrik bersempena Piala Dunia dan juga pakej kereta menjelang Piala Dunia (termasuk yang dijual oleh Usamah Izer - klik sini) sudah mula kedengaran. Semalam, terdapat beberapa negara yang bersaing di dalam Piala Dunia sudah mula mengeluarkan senarai pemain-pemain yang akan ke Piala Dunia. Ada negara yang terus menyenaraikan senarai 23 pemain dan terdapat juga yang menyenaraikan 30 pemain sebelum dikurangkan kepada 23 orang menjelang Piala Dunia.

Apa yang menarik pada pandangan dan pemerhatian saya adalah gugurnya beberapa pemain-pemain bintang dari senarai yang akan ke Afrika Selatan. Seperti diketahui umum, David Beckham dan Michael Owen tidak disenaraikan oleh pasukan England kerana tercedera dalam kempen liga masing-masing. Pasti Beckham lebih terluka kerana beliau sanggup bersusah-payah untuk bermain di AC Milan demi memikat hati pengurusnya namun apakah daya, kecederaan yang dialaminya memadam terus impian buat si bintang ini bermain dalam Piala Dunia kali ini, mungkin juga yang terakhir baginya. Selain itu, England juga menyisihkan Owen Hargreaves dari pasukan ini.
Pasukan Perancis juga mempunyai kejutan tersendiri. Penyerang handalan mereka, Karim Benzema yang sebelum ini berjaya melakukan pemindahan impian ke skuad gergasi Real Madrid tercicir dari senarai ini. Samir Nasri juga sebegitu. Juga Patrick Viera. Skuad Argentina pula menyisihkan gandingan Inter Milan, Esteban Cambiasso dan Javier Zanetti yang membantu skuad Inter Milan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Juga tiada Fernando Gago, pemain dari pasukan bintang, Real Madrid. Itali pula tanpa Francesco Totti. Ruud Van Nistelrooy gagal menambat hati pengurusnya untuk membawanya bersama ke Afrika Selatan. Brazil lebih mengejutkan. Tiada lagi samba dari Ronaldo, Adriano, Ronaldinho, malahan Alexender Pato yang masih muda dan diwar-warkan sebagai antara pemain muda terbaik dunia juga dicicirkan. Sungguh menarik senarai pemain yang akan ke Piala Dunia Jun ini.

Pemain-pemain bintang yang dicicirkan dalam skuad ke Piala Dunia

Sungguh, kejayaan sesebuah pasukan bukanlah terletak pada keupayaan seseorang individu. Kejayaan sesebuah pasukan itu terletak pada usaha mereka bersama. Bukanlah faktor seseorang itu yang menyebabkan kemenangan sesuatu pasukan. Marilah kita kembali melihat kepada seerah Islam suatu ketika dahulu, di mana Khalifah kedua umat Islam, iaitu Umar b Al-Khattab r.a. memecat panglima ungguk tentera Islam ketika itu, Khalid b al-Walid r.a. yang pada ketika itu sedang berjuang di medan Jihad. Umar b al-Khattab r.a. bertindak demikian adalah kerana ingin berjaga-jaga terhadap umat Islam yang beranggapan kemenangan tentera Islam pada ketika itu bergantung kepada Khalid al-Walid r.a. sebagai panglima mereka. Juga bagaimana sucinya hati Khalid al-Walid r.a. yang sanggup melepaskan jawatannya pada ketika itu dengan baik dan rela hati.

Kejayaan sesuatu pasukan, bukan terletak pada bahu seseorang sahaja. Kejayaan itu adalah hasil usaha sama semua pihak dengan kefahaman yang menyeluruh. Tiada ertinya jika slogan-slogan Islam berkumandang megah, tetapi tiada nilai penghayatan dalam masyarakat untuk mengamalkan nilai-nilai Islam yang syumul. Adakah kita hanya mahu mengumpul angka-angka kosong? ?

Tepuk dada, tanya iman..

~Makan Tarbiyyah, Tidur Tarbiyyah, Hidup Penuh Tarbiyyah..

Wassalam . . .

06 May 2010

KTM Komuter : Koc Khas Untuk LELAKI

Assalamualaikum w.b.t.

Lebih kurang seminggu yang lepas, kita diberitakan dengan berita bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTM) telah menyediakan koc khas untuk penumpang wanita dalam sistem Komuter yang dikendalikan olehnya. Semua pihak menyambut baik cadangan murni dari pihak KTM ini yang bertujuan untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang wanita terutamanya semasa waktu-waktu puncak. Hal ini dapat mengelakkan penumpang wanita daripada bersesak-sesak dengan penumpang lelaki di dalam Komuter.


Ini cerita lebih kurang seminggu lepas.

Dalam seminggu ini, saya terpaksa menjadi penumpang rutin kepada perkhidmatan Komuter atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Di setiap stesen, saya melihat terdapat satu ruangan khas menunggu untuk penumpang wanita menunggu koc yang dikhaskan untuk mereka. Walaupun ada juga penumpang lelaki yang kelihatan di dalam koc wanita, berdasarkan sembang-sembang saya bersama pegawai keselamatan di salah satu stesen Komuter, beliau mengatakan bahawa peraturan koc untuk wanita sahaja itu tidak diketatkan lagi kerana masih baru dihebahkan. Ini pun tiada masalah bagi saya. Mungkin selepas ini barulah penguatkuasaan tentang koc wanita ini akan lebih ditingkatkan.

Yang menjadi masalah bagi saya, seorang penumpang lelaki, adalah apabila penumpang wanita tidak menggunakan kemudahan yang telah disediakan. Walaupun terdapat koc yang khas untuk penumpang wanita dan koc tersebut masih kosong, namun mereka dengan 'slumber'nya menggunakan koc yang lain. Mungkin alasan malas nak "berjalan ke tengah tren" ataupun "aku peduli apa" digunakan oleh mereka ini. Jika mereka naik dengan bertemankan orang lelaki sperti dengan suami ataupun dengan abang, bolehlah diterima. Namun tidak. Walaupun berseorangan, wanita-wanita ini tetap 'suka' untuk menaiki koc biasa tersebut. Bukannya mereka ini tidak tahu tentang kewujudan koc khas itu, kerana pihak stesen Komuter telah berulang kali memberitahu tentang koc itu menggunakan sistem audio yang pasti didengari oleh semua manusia.

Seperti biasa, jika anda menaiki Komuter di waktu-waktu puncak, semestinya anda akan juga tersepit di dalam kesesakan. Itulah yang saya alami tempoh hari semasa menaiki Komuter di waktu puncak. Mujurlah jaket tebal yang sentiasa dipakai oleh saya berjaya menghalang kulit saya daripada tersentuh kulit manusia lain.

Dalam keadaan yang sesak, hati saya terus terfikir mengapa pihak KTM tidak menyediakan koc khas untuk lelaki sahaja bagi keselesaan penumpang-penumpang lelaki seperti saya? Bukankah lelaki juga berhak untuk mendapatkan keselesaan??

Wassalam . . .

26 April 2010

Ini Cerita Tentang Tudung

Assalamualaikum w.b.t.


Ini cerita tentang tudung. Orang-orang Eropah sekarang sedang berusaha untuk mengharamkan pemakaian niqab dan tudung di sana. Kononnya menyekat kebebasan wanita dan menindas golongan wanita. Di Perancis dan Belgium, isu niqab dan hijab ini sudah lama kedengaran. Pelajar dibuang sekolah kerana bertudung juga sudah didengar. Denmark apa kurangnya. Tidak lupa juga dengan Sepanyol. Switzeland dengan isu menara masjidnya, juga tidak kalah dalam isu tudung. Mana lagi? Oh ya, Belanda jangan dilupakan. Sampai ada yang mencadangkan setiap pemakaih tudung dikenakan cukai khas. Wah, meriah isu tudung ini di Eropah.

Ini cerita Eropah. Betapa arus jahiliyyah telah berleluasa dan menguasai pemikiran mereka. Wanita bertudung katanya ditindas, dan tidak berpakaian dikatakan kebebasan. Tidak mengapalah, apa boleh buat, itu negara majoritinya bukan Islam. Bukan mudah menyebarkan Islam di negara orang.

Tetapi, yang membuatkan jiwa pemerhati saya musykil adalah tentang aduan ini - Sukarnya mendapat kerja hanya kerana memakai tudung. Boleh dilihat di halaman 12 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 April 2010 di ruangan Forum. Dihantar oleh cik/puan Hyena, dari Negeri Sembilan. Negeri Sembilan ini di Malaysia ye, bukan di Denmark mahupun Belanda.

Katanya pada mulanya beliau mencari kerja di sebuah hotel di Bandaraya Bersejarah dan memerlukan beliau pergi untuk ditemuduga. Penemuduga itu bersedia menerima beliau dengan syarat beliau sedia melepaskan tudungnya. Kononnya itu merupakan syarat 'normal' untuk bekerja di hotel. Sekali lagi saya hendak beritahu, hotel itu di Malaysia ye, bukan di Sepanyol. Dan Bandaraya Bersejarah itupun di Malaysia, bukan di Perancis.

Selepas itu, cik/puan Hyena ini pergi memohon kerja di pusat membeli-belah sebagai pembantu kedai, tetapi majikan di situ menetapkan syarat 'normal' kepada beliau iaitu membuka tudungnya. Oh ya, kedai itu di Malaysia juga, bukannya di Switzeland mahupun Belgium.

Ini kisah di Malaysia, yang merupakan sebuah negara Islam, dan setiap penduduknya diberi kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing! Apakah benda yang sedang sebenarnya sedang tidak normal sekarang? Syarat 'normal" itukah? Agama Islam di Malaysiakah? Atau mungkin akal saya yang tidak normal tidak dapat menerima perkara sebegini berlaku?

Kepada majikan-majikan di luar sana, tolonglah. Malaysia ini merupakan negara yang memberi kebebasan kepada rakyatya mengamalkan ajaran agama masing-masinh. Janganlah adan sewenang-wenangnya menyekat kebebasan ini. Penganut agama Singh dan Islam yang berserban boleh dikecualikan daripada dikenakan saman jika tidak memakai topi keledar. Inikan contoh bagaimana kebebasan agama di tanah air kita?

Kepada cik-cik/puan-puan seperti cik/puan Hyena, teruskan dengan pendirian anda . tetaplah bertudung walau bagaimanapun keadaannya. Matlamat uatama kita adalah rezeki yang halal dan janganlah kerana tudung, rezeki anda boleh menjadi haram. Syabas! Andalah generasi muslimah bukti kejayaan dan keagungan Islam di muka bumi ini.

Dan yang paling penting sekali kepada gadis-gadis/awek-awek/gurl-gurl/sis-sis di luar sana (saya mengunakan perkataan gadis/awek/gurl/sis kerana jika saya mengunakan muslimah ataupun akhowat, perkataan itu lebih sinonim dengan merela yang mempunyai pendirian agama yang kuat. Jadi, tulisan ini KHAS untuk mereka yang sewenang-wenangnya memamerkan rambut mereka kepada umu. Jenis-jenis muslimah/akhowat tak payah baca pun takpe.), jagalah diri anda daripada dosa-dosa kering. Cukuplah mempamerkan rambut anda itu kepada umum, mahupun hanya di dalam profil Facebook anda. Saya tahu, bukannya mudah dan murah. Kos untuk syampu, perapi rambut, salun, perwarna dan lain-lain lagi bukannya murah. Tidak dicampur dengan rebondingnya lagi, treatmentnya lagi dan entah apa-apa lagi pakej penjagaan rambut yang terdapat di pasaran. Pakai tudung kan senang. Cantik, anggun, ayu, bergaya, mutu, keunggulan, suci, bersih, suci...Pergh! Senang cakap semua adalah pabila anda bertudung. Dan paling seronok, senang-senang sahaja anda mendapat pahala dan mencegah anda daripada menambahkan jumlah dosa. Cakap banyak pasal dosa pahalapun tiada gunanya, semuanyya sudah jelas tentanh hukum memakai tudung. Jelas, nyata dan terang. 'Sendiri mau ingat r sis'.

~Eqwan cakap dekat Subang Jaya pun normal juga pabla surau-surau perempuan di kompleks membeli-belah disinggahi oleh gadis-gadis berambut bebas. Normal, amat normal!

Wassalam . . .

20 February 2010

Islamisasi Malaysia

Assalamualaikum w.b.t.

Lama benar saya tidak menulis. Semenjak masuk ke UIAM Gombak, menulis merupakan suatu kerja yang amat-amat berat sekali untuk saya lakukan. Entah mengapa. Tidak mengapa, bukan menulis yang ingin saya katakan, tetapi saya berniat ingin berkongsi pandangan saya dengan anda sekalian.

Islamisasi Malaysia, bunyinya amat gah. Makna tepatnya?? Maaf, saya pun tak tahu. Sekadar terlintas di minda menulis tajuk segah di atas.


Secara jujurnya, saya melihat negara kita, Malaysia, sedang mengalami proses islamisasi. Apakah proses islamisasi tersebut? Ianya boleh ditafsirkan sebagai perlahan-lahan melangkah menuju ke suatu arah dan suasana yang lebih islamik berbanding sebelum ini.

Pertama, ketika 14Februari yang lalu, ketika saya sedang bercuti di Taiping, sempat saya menonton berita. Satu tajuk yang amat menarik perhatian saya adalah ketika mana pembaca berita memyampaikan berita yang bertajuk "Umat Islam diseru tidak menyambut "Valetine's Day". Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya ustaz, ustazah, dai'e, dai'eah, dan yang seangkatan dengannya sahaja yang bertungkus-lumus menyebarkan fahaman ini, sekarang di kaca television sendiri terpaparnya perkara ini.

Kedua, kita dapat melihat bagaimana banyak pihak yang sebelum ini terlena dan tidak berapa mengendahkan tentang hal ehwal umat Islam di Malaysia, bangkit berjuang menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini mereka malu-malu alah hendak menyebut tentang Islam, sekarang mereka yang sedaya-upaya berusaha untuk membantah ketika sensitiviti umat Islam digugat.


Ketiga, wujudnya banyak blog, website, forum dan pelbagai lagi yang berunsur islamik. Tidak ketinggalan lahirnya akhbar iLuvIslam(bukan promote) dalam pasaran akhbar tanah air, merancakkan lagi kemeriahan taburan perkara yang berunsur islamik di Malaysia. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya mendengar ceramah-ceramah agama di masjid dan surau untuk menambahkan info tentang Islam, sekarang di mana-mana kita boleh mendapatkan info tersebut.

Keempat, berkembangnya pemikiran Islamik di kalangan pelajar-pelajar IPT di Malaysia, dan juga yang sedang belaajr di luar negara. Walaupun dalam skala yang kecil, namun kerancakan program-program berunsur Islam di kampus-kampus pengajian dalam dan luar negara jelas membuktikan perkembangan ini berlaku. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hanya pertandingan "battle of the band", majlis tari-menari yang mempolopori program-program di kampus kita, sekarang program-program berunsur Islamik juga rancak memeriahkan kehidupan kampus.



Kelima, popularnya perkataan usrah arau halaqah di kalangan muda-mudi tanah air. Mungkin tidak sepopular futsal ataupun konsert, namun kadar kepopularannya makin meningkat dari hari ke hari. Bukankah ini suatu yang positif?? Jika selama ini hendak mendengar perkataan usrah pun terasa amat janggal, apatah lagi mengikutinya, sekarang sudah ada sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang mewajibkan pelajar Islamnya mengikuti program usrah umum atau nama lainnya, smart group.


Banyak lagi sebenarnya jika kita teliti dengan sedalam-dalamya. Mungkin, ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini, namun, marilah kita melihat ini dari satu sudut yang lebih positif. Bukanlah saya bermaksud bahawa kita sudah berpuas hati dengan keadaan sekarang. Namun ini merupakan satu pemangkin semangat kepada kita semua, bahawa usaha untuk membawa Islam yang syumul itu perlu kita teruskan. Suasana sekarang jauh lebih baik daripada suasana era 60an dan 70an. Ini jelas membuktikan yang kita mampu mengubah nasib kaum kita, yang penting kita berusaha untuk mengubahnya.

InsyaAllah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh, dan keikhlasan hanya kerana Allah SWT, kita akan dapat pergi jauh lebih baik lagi daripada suasana sekarang.

Teruskan Perjuangan!! Man jadda, wajada!!

Wassalam . . .

07 January 2010

Tidak Prihatinkah Kita???

Assalamualaikum w.b.t.

Isu Palestin, takkan pernah habis diulang selagi mana Israel masih tidak dihalau keluar dari bumi barkah Palestin. Namun, yang menjadi persoalannya, siapakah insan-insan terpilih yang akan sama-sama tergolong dalam golongan yang berusaha untuk menghalau keluar Israel Zionis ini?? Hanya mengharapkan penduduk Palestin?? PBB??? OIC?? Liga Arab?? Dimanakah usaha kita sebagai saudara seakidah mereka?? Tidak prihatinkah kita??

Laporan terbaru mengatakan yang saudara kita di Gaza sana sudah 2 minggu kehabisan makanan. Hinggakan ada yang memakan rumput!! Ya, rumput. Dikala kita enak memakan makanan sehinnga membazir, mereka di sana kebuluran hingga memakan rumput!!Tidak prihatinkah kita??


Di samping itu, kerajaan Mesir juga masih berkeras untuk membina tembok sempadan di sempadan Gaza-Mesir. Sudahlah Gaza dikepung oleh Israel, disekat oleh dunia, dan kini jirannya sendiri pula cuba mengepung Gaza di atas alasan keselamatan - sesuatu yang amat tidak dapat diterima akal!! Tidak prihatinkah kita??

Daripada Anas ra , Nabi SAW bersabda :

"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri."

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)



Hayya!!Tunjukkan keprihatinan kita!! Bantulah saudara kita di sana..Sumbangan kita, pasti membantu perjuangan mereka di sana..

Ingin menyumbang??

Layari laman web AmanPalestin.
Atau hulurkan sumbangan kepada akauan AmanPalestin
Bank Islam : 12029010047880
Maybank : 562263010787


~LuvPalestin.. 1Ummah 1Palestin !!

16 December 2009

HAMAS : Kejayaan dan Pengajaran

Assalamualaikum w.b.t.


"Kami tidak akan pernah melepaskan wilayah Palestin dari sungai sampai ke laut,"
"Tidak cukup bagi Hamas hanya membebaskan Gaza, atau hanya untuk mendirikan sebuah emirat di Gaza, ataupun negara, maupun entitas independen ... Hamas berusaha untuk membebaskan semua wilayah Palestin!"

Ismael Haniya,pemimpin HAMAS.

"Dalam 22 tahun sejak didirikan, Hamas telah mampu mewujudkan sebahagian besar dari tujuannya dan untuk mengatasi setiap rintangan yang telah dihadapi, dari mulai dipenjara, pembuangan, pembunuhan dan sampai ke pemilihan umum."
"Pemahaman kami tentang perlawanan adalah total, dan tidak terbatas pada konflik bersenjata."

Mahmud Zahar,pemimpin senior HAMAS.

Ini merupakan petikan kata-kata pemimpin-pemimpin HAMAS semasa sambutan ulangtahun ke 22 penubuhan Harakatul Muqawwamatil Islamiah atau lebih dikenali sebagai HAMAS pada 14 Disember yang lalu.

Jika kita suruti perjalanan HAMAS daripada sebuah gerakan intifadha menjadi pemerintah di wilayah Gaza, terlalu banyak pengajaran-pengajaran yang boleh kita ambil dan ikuti dalam usaha untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini.

HAMAS bermula dengan gerakan bawah tanah menentang pencerobohan Israel ke atas tanah Palestin. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan HAMAS kepada rakyat Palestin terutamanya di Gaza sebelum menceburkan diri ke kancah politik di Palestin. Sekolah, klinik, pengajian, pelajaran, bahkan universiti telah dibuka oleh HAMAS untuk keselesaan masyarakat Palsetin sebelum menceburkan diri ke dalam pilihanraya.

Ini antara faktor-faktor utama mengapa rakyat Gaza masih menyokong kuat kekuasaan HAMAS walaupun ditekan dengan sekatan ekonomi, kecaman dunia bahkan serangan daripada tentera Isreal yang membabi buta. Rakyat Gaza begitu memahami erti perjuangan. Dengan mudah mereka boleh membuka pintu sempadan, menghapuskan sekatan ekonomi dan menghalang serangan Israel - dengan cara tidak mengundi HAMAS. Namun atas dasar kepercayaan yang kukuh dan kefahaman yang padu terhadap perjuangan HAMAS membebaskan Palestin, mereka sanggup hidup dalam tekanan.

Ini adalah contoh terbaik yang boleh kita ambil dalam konteks negara kita, betapa kefahaman dan kepercayaan amat penting sebelum pergi lebih jauh. Walaupun mempunyai barisan kepimpinan yang mantap, namun yang paling penting adalah kefahaman seluruh rakyat dan masyarakat. Bukannya hanya mengundi pabila disogok dengan wang, pabila ada sesuatu isu berbangkit ataupun secara membabi buta tanpa melihat kredibiliti 0rang yang diundi tersebut. Seperti HAMAS, segalanya bermula dengan kesedaran dan tarbiyyah. Bagitulah juga perlunya kesedaran dan tarbiyyah di Malaysia sebelum melangkah lebih jauh ke hadapan.

Perjalanan kita masih jauh, apakah kita hendak mengumpulkan hati-hati yang kosong??

Tarbiyyah bukan segalanya, tetepi segalanya bermula dengan tarbiyyah..

Berikut adalah serba sedikit gambar keraian ulangtahun ke22 HAMAS :






















~Kecewa dengan politik bermusim di Malaysia.

Wassalam. .

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP