KTM Komuter : Koc Khas Untuk LELAKI
Assalamualaikum w.b.t.
Lebih kurang seminggu yang lepas, kita diberitakan dengan berita bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTM) telah menyediakan koc khas untuk penumpang wanita dalam sistem Komuter yang dikendalikan olehnya. Semua pihak menyambut baik cadangan murni dari pihak KTM ini yang bertujuan untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang wanita terutamanya semasa waktu-waktu puncak. Hal ini dapat mengelakkan penumpang wanita daripada bersesak-sesak dengan penumpang lelaki di dalam Komuter.
Ini cerita lebih kurang seminggu lepas.
Dalam seminggu ini, saya terpaksa menjadi penumpang rutin kepada perkhidmatan Komuter atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Di setiap stesen, saya melihat terdapat satu ruangan khas menunggu untuk penumpang wanita menunggu koc yang dikhaskan untuk mereka. Walaupun ada juga penumpang lelaki yang kelihatan di dalam koc wanita, berdasarkan sembang-sembang saya bersama pegawai keselamatan di salah satu stesen Komuter, beliau mengatakan bahawa peraturan koc untuk wanita sahaja itu tidak diketatkan lagi kerana masih baru dihebahkan. Ini pun tiada masalah bagi saya. Mungkin selepas ini barulah penguatkuasaan tentang koc wanita ini akan lebih ditingkatkan.
Yang menjadi masalah bagi saya, seorang penumpang lelaki, adalah apabila penumpang wanita tidak menggunakan kemudahan yang telah disediakan. Walaupun terdapat koc yang khas untuk penumpang wanita dan koc tersebut masih kosong, namun mereka dengan 'slumber'nya menggunakan koc yang lain. Mungkin alasan malas nak "berjalan ke tengah tren" ataupun "aku peduli apa" digunakan oleh mereka ini. Jika mereka naik dengan bertemankan orang lelaki sperti dengan suami ataupun dengan abang, bolehlah diterima. Namun tidak. Walaupun berseorangan, wanita-wanita ini tetap 'suka' untuk menaiki koc biasa tersebut. Bukannya mereka ini tidak tahu tentang kewujudan koc khas itu, kerana pihak stesen Komuter telah berulang kali memberitahu tentang koc itu menggunakan sistem audio yang pasti didengari oleh semua manusia.
Dalam keadaan yang sesak, hati saya terus terfikir mengapa pihak KTM tidak menyediakan koc khas untuk lelaki sahaja bagi keselesaan penumpang-penumpang lelaki seperti saya? Bukankah lelaki juga berhak untuk mendapatkan keselesaan??
Wassalam . . .