15 January 2012

Belia dan Sunnatullah

Salah satu proses alam ini adalah kitar kehidupan, proses kelahiran dan kematian. Generasi lama akan pergi meninggalkan kita, untuk memberi ruang kepada generasi baru untuk ambil alih dan meneruskan kelansungan umat ini. Generasi baru tersebut adalah kita, belia. Pemimpin-pemimpin yang kita kenali pada hari ini akan pergi meninggalkan kita untuk mengadap ilahi. Beban negara dan umat ini akan berpindah sepenuhnya ke atas bahu kita. Jika dirasakan negara kita tidak berada di atas landasan yang betul, adalah tanggungjawab kita untuk mengubahnya. Jika dirasakan negara kita berada atas landasan yang betul, masih menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahan. Pilihan yang ketiga adalah kita bersahaja, tetapi kita perlu terima apa saja yang bakal mendatang kepada kita dan anak-anak kita di masa akan datang. Hakikat alam ini harus disedari seluruh belia, khususnya mahasiswa yang merupakan kelompok penting daripada golongan belia secara keseluruhannya. Kemudian mahasiswa perlu bersama-sama berusaha meningkatkan potensi diri, lalu menyumbang kembali kepada umat. Ada sebuah pepatah Arab, “man la yaqiidu la yu’thi syaian” yang bermaksud, “orang yang tiada apa-apa, tidak mampu memberi apa-apa”.

Sayang sekali apa yang kita lihat pada hari ini adalah generasi mahasiswa 3K. Bukan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan tetapi kafe, kuliah dan katil. Itulah hakikat kehidupan kebanyakan mahasiswa dan selebihnya hanya diisi dengan hiburan seperti menonton filem dan sebagainya. Ada juga yang sibuk berprogram tetapi sayangnya tiada agenda yang jelas. Ada yang kelihatan aktif ke sana dan ke mari, bersukan di sana dan sini tetapi dalam masa yang sama “kelesuan” kerana tidak pasti akan titik akhir yang ingin dicapai, tidak sensitif dengan kecelaruan umat.

Namun di antara kelompok mahasiswa 3K, ada kelompok mahasiswa yang tinggi cita-citanya. Kelompok ini ingin melihat umat Islam kembali dihormati. Hukum Allah kembali melimpahkan rahmat terhadap sekalian alam. Namun sayang, cita-cita yang tinggi ini tidak dibawa bersama bekalan yang mencukupi. “Man la yaqiidu la yu’thi syaian”. Orang yang tiada apa-apa, tidak mampu memberi apa-apa. Apa yang dapat diberi, jika yang ada hanyalah cita-cita?

Terdapat juga mahasiswa yang sibuk berjuang, tetapi yang menggerakkan mereka hanyalah sentimen. Yang memacu tindakan mereka hanyalah perasaan marah dan kekecewaan. Yang menggerakkan degupan jantung hanyalah darah yang kepanasan. Perubahan yang dibawa pula tidaklah kepada kebaikan tetapi ke arah mendokong ism-ism seperti humanism, sosialism dan sekularism yang bertentangan dengan kehendak agama.

Muhammad Al-Fateh menakluk Konstantinopel ketika berumur 21 tahun. Cita-cita yang tinggi berpandukan kefahahaman yang jelas memacu Al-Fateh untuk mencapai cita-cita yang kelihatan mustahil pada hari ini. Namun begitu, Al-Fateh tidak menakluk Constantinople berbekalkan cita-cita semata-mata. Kegagalan usaha pejuang sebelumnya dikaji dengan begitu rapi dan Al-Fateh bawa bersama perancangan yang dikatakan strategi perang terbaik sepanjang zaman. Masakan musuh akan terlintas berfikir Al-Fateh akan membawa kapal-kapal perangnya melalui gunung-ganang untuk menakluk Constatinople. Musuh yang tidak bersedia terkejut porak-peranda. Pemuda yang memikul kapal-kapal tadi sudah tentu pemuda-pemuda yang kental jiwa mereka.

Ke mana hilangnya jiwa pemuda-pemuda seperti Al-Fateh? Adakah kita telah kalah dengan serangan musuh daripada pelbagai arah? Adakah kita telah kalah dengan serangan minda yang menyebabkan kita hanya mampu untuk memikirkan periuk nasi sendiri semata-mata? Adakah kita rasa selamat masa akan datang untuk didiami anak-anak kita?

Sedarlah akan hakikat alam ini. Ayuh belia! Jangan biarkan potensi yang kita ada dicaturkan manusia beragenda selain daripada agenda Islam. Bangkitkan jiwa daripada belenggu kelesuan! 

Comments
0 Comments

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP