18 May 2009

Remaja Bukan Sekali

Assalamualaikum w.b.t.

Huh, setelah sekian lama menyepikan diri daripada dunia tanpa sempadan ini, akhirnya dapat juga saya kembali menunaikan hak pembaca sekian. Kali ini, saya hanya akan mengambil satu artikel yang diculik dengan izin dari blog sahabat saya, Akmal Hakim Abdul Khaliq. Artikel ini bagi saya amat menarik terutama pabila mengenangkan yang sebenarnya Remaja Bukan Sekali. Hmm...

Remaja Bukan Sekali

“Dua nikmat yang manusia sering lalai dan alpa ialah kesihatan dan waktu atau usia yang Allah berikan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

taubat

Sesekali apabila saya memerhati tentang diri ini, saya masih remaja. Masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat. Masih banyak lagi yang perlu yang saya bersedia.


Secara pasti, erti remaja yang kita pegang adalah erti semangat.


Maksud saya, segala-galanya adalah berpandukan semangat.


Maka dalam keadaan kita bersemangat itu, ia jatuh kepada perkara yang subjektif. Sama ada semangat itu adalah untuk tanggungjawab atau sekadar kepuasan.


Ramai yang menjawab tanggungjawab.


Namun tindakan, tingkahlaku sedikit pun tidak melambangkan ia adalah atas refleksi tanggungjawab. Bahkan, terang-terang semua untuk kepuasan diri.


Saya beri contoh mudah. Ada yang kata ingin berkhidmat untuk masyarakat, tapi apabila sampai beberapa orang yang ingin meminta khidmat, dicasnya bayaran yang tinggi. Lantas segala program yang dilaksanakan tergendala kerana masalah bajet.


Itu bukan tanggungjawab namanya.


Banyak sangat yang berlaku manusia terlalu mengagung-agungkan kata-katanya. Almaklumlah, remaja hanya sekali, rancang segala benda tak fikir dua kali, nak buat, tak boleh diharap walaupun sekali.


Itulah yang berlaku.


BAHANA LAMAN WEB SOSIAL KEPADA REMAJA


Kalau dahulu bermula dengan friendster, disusuli dengan MySpace, Hi5, tagged, facebook dan yang terkini bersarang di inbox e-mel saya, desktopdating entah apa lah.


Katanya nak memperkembangkan dakwah. Gunakan segala teknologi yang ada.


Tapi sekadar manis di bibir.


Yang digunakan untuk dakwah hanya 1-2%, lebihnya digunakan untuk bersosial.


Kalaulah friendster itu berjaya menggalakkan diri kita berkembang, sekurang-kurangnya boleh menulis dengan cara yang lebih beretika, tak mengapalah.


Tetapi, sejauh lama mana sekalipun, yang ada balik-balik mesej yang sama. Saya berulang kali dapat mesej yang sama, 5-6 tahun lepas tanpa ubah satu perkataan pun. Ini bermakna, orang menggunakan friendster dsb, tidak berubah dari sifat stereotipikal ini.


Banyak perkara yang boleh dilaksanakan sesuatu sebagai tambah nilai.


DILEMA REMAJA ISLAM


Ketika hari lahir saya bulan lepas, terfikir saya satu perkara. Inilah tahun akhir saya menamatkan kehidupan saya pada ‘belasan tahun’ kepada taraf ‘puluhan’. Maka sedikit sebanyak saya muhasabah diri, banyak perkara yang saya akan tempuh selepas ini.


Ini bermakna sekali ganda usia yang telah saya hidup ini, saya akan capai satu penentuan umur penentu, bak kata Rasulullah;


“Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah” (Hadis Riwayat Tabrani)


Tertanya-tanya sendiri, sebanyak manakah saya sudah cukupkan insuran pahala pada hari-hari kemudian ini. Usia remaja selama 19 tahun saya hidup, begitu sukar sekali untuk saya pastikan adakah cukup-cukup amalan saya menepati piawaian Allah untuk bersama orang-orang yang selamat di akhirat kelak? Sebut tentang alam kubur pun belum tentu.


Kemudian terbaca saya satu hadis yang lebih menakutkan.


“…Kamu kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kala-ngan kamu yang berlaku sebaliknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Nauzubillah min su’uz zalik.


Saya mulalah mengenal siapa saya. Adakah saya mampu lagi bermuhasabah diri jika diri ini semakin biasa dengan perkara-perkara yang lagho, gurau senda, buang masa dan sebagainya yang melingkar di sekeliling leher ini?


Tarbiyah bukan mengambil masa yang singkat.


Sesudah itu, pelaksanaan istiqamah pula.


Saya khuatir, sebagai manusia yang naik turun iman ini, adakah saya akan berjaya menempuh dunia yang bersih?


Ataupun saya bakal dicalarkan dengan noda yang merosakkan masa depan?


Remaja kalau tidak berfikir setiap tindakannya berkait rapat dengan masa depannya, musnahlah.


Saya beri analogi.


Ada yang kadang-kadang saya lihat memasang di friendster dengan gambar berdua-duaan, gambar itu gambar ini, ‘tiger show’ dan sebagainya, seolah-olah akan remaja selama-lamanya.


Tidak malukah anak selepas 10 tahun akan datang melihat ayahnya ‘terkantoi’ dengan wanita lain ketika remaja?


Tidak malu anak-anak perli anda ‘suami isteri’ bersayang-sayang di friendster ketika remaja?


Atau membiarkan mentaliti mereka akan biasa dengan keadaan ini?


Itu baru soal malu manusia.


Cuba bayangkan setelah bermacam-macam adegan yang pelik, tak senonoh dan sebagainya dipaparkan di laman web sosial itu, tetapi, belum sempat kita padam profil, mati kemalangan. Adakah wujud posmen 2 antara dua alam yang boleh berikan password & username untuk padamkan profil itu?


Tidakkah setiap kali mata kepala memandang keburukan itu, menjadi satu dosa yang jarir?


Aduh seksanya andai di dalam kubur dihukum kerana ini.


Kemudian kita akan dihadapkan malu di depan-Nya.


Fikirkan.


Saya menulis di sini kerana kita remaja. Banyak perkara dalam dunia ini yang masih kita tak sedar. Banyak lagi tuntutan dan tanggungjawab belum terlaksana. Itulah manusia yang bernama remaja.


LAWAN ARUS


Bertubi-tubi saya membaca bahan bacaan yang melibatkan soal hati. Namun ketika berlegar-legar di sekitar soal jiwa ini, saya menemui satu jawapan yang hakiki bahawa sebenarnya semua ini berkait rapat dengan hubungan seseorang dengan nafsu.


Apatah lagi yang liar belum dijinakkan. Siapa lagi golongan yang saya maksudkan kalau bukan remaja.


Manusia andai tidak mengenal nafsunya maka dia berpotensi untuk hanyut dalam menerusi jalan hidupnya. Nafsu itu tidak suka pada perkara yang menyusahkannya, tetapi suka pada perkara yang senang-senang (saya tidak memaksudkan perkara yang haram di sini).


Tetapi nafsu itu apabila tidak dijinakkan, maka ia mengheret empunya badan kepada perkara yang lebih sia-sia. Contohnya, seseorang yang mengalami masalah sering kali menghabiskan duitnya beribu-ribu untuk kepuasan dirinya, adakah ia akan menyelesaikan keadaan?


Atau nafsu itu semakin meliar dahagakan lebih kepuasan?


Bercakap tentang nafsu, mengarut jika ingin melembutkannya dengan cara menurutinya. Amat jelas bagi saya bahawa sebenarnya kita tak akan mencapai kebahagiaan atau ketenangan dengan cara memuaskan kehendak nafsu semata-mata, tetapi sebaliknya dengan mendidiknya (mujahadah).


Saya tak bermaksud memadam terus api nafsu, sedangkan ia adalah sebahagian dari hidup.


Tetapi, nafsu yang ada inilah biasanya menyekat kita daripada melakukan amalan-amalan yang ikhlas kerana mahu dipuji, tidak berkata benar kerana mahu dipercayai, gila kuasa sebelum diri diuji.


Bagaimana jika kita mahu berjuang andai nafsu belum dilentur.


Inikan lagi mendidik orang lain.


Bak kata Ustaz Abdullah Zaik,


“Seorang murabbi yang mahir perlu faham bahawa dalam urusan tarbiah ia sebenarnya berhadapan dengan tindak-tanduk nafsu anak buahnya. Ia harus memiliki kemahiran bagaimana selok belok mengendalikan tindak tanduk yang lahir dari berbagai tindakbalas nafsu. Jika ia tidak faham atau tidak punya pengalaman mustahil murabbi itu akan berjaya dalam tugasnya mentarbiah anak buahnya.”


Ustaz ada memberi tahu lagi bahawa nafsu adalah unsur terpenting dalam proses tarbiah Islamiah. Ia adalah paksi kejayaan orientasi tarbiyah manusia keseluruhannya. Silap cara mentarbiah nafsu manusia akan jadi lebih menarik dari sebelumnya, kerana nafsu yang diberi ilmu tetapi tidak ditarbiah lebih tahu menipu daripada nafsu yang jahil.


Kerana begitu ramainya wujud manusia-manusia yang berterampil taqwa, sopan, dan berakhlak di depan, namun jauh dari dalam tidak ada penghayatan tentang apa yang di bawanya sendiri.


Saya sendiri sebagai orang yang baru setahun jagung dalam dunia tarbiyah ini pernah merasai pembawakan saya terhadap dakwah Islam, namun sangat memanjakan nafsu. Ketika ini saya meneliti dan menilai bahawa setiap yang buruk di depan mata, perlu saya cegah. Namun diri ini sendiri tidak nampak mana kelompong salah silapnya kerana ilmu bertapak di kepala, tetapi tarbiyah tidak berpijak di hati.


Lantas barulah saya sedar bahawa kenapa dalam hadis Rasulullah;


Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amr bin Ash rodhiallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah bersabda, “Tidak beriman seseorang di antara kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.” (Hadits shahih, kami riwayatkan dalam kitab Al-Hujjah dengan sanad yang shahih)


REMAJA BUKAN SEKALI


Akhirnya saya dapati bahawa apa yang kita lakukan hari ini begitu mudahnya terpengaruh dan tersilap langkah apatah lagi sebagai remaja. Lalu, saya dapati satu senjata yang paling ampuh dan kukuh sebagai seorang remaja, memasang senjata istiqamah.


Istiqamah itu bagi orang tua sudah tentu, kerana apa yang dipandang pada masa-masa depannya adalah satu penamat. Namun ini tidak bagi remaja. Secara jujurnya, saya sebagai seorang pemuda ada waktunya saya beramal lebih, juga ada waktu kurangnya.


Kata mak, “tegaskan prinsip”, itulah kunci istiqamah.


Jangan mengalah untuk berubah. Fasa-fasa dalam remaja adalah waktu yang sering kali menyedari hakikat untuk berubah, namun angkara persekitaran, kadangkala inilah yang menjadi persoalan kenapa sukar untuk memulakan perubahan itu.


Terpulanglah sama ada takut diejek, atau takut tidak ada peluang lagi untuk berubah, semuanya diri sendiri yang menentukannya.


Hari ini kita remaja, jangan lupa diakhirat juga kita berpeluang untuk menjadi remaja.


Ibn Abbas r.a. berkata: “Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, polos, halus, tidak ada rambut kecuali dikepala, alis dan bulu mata, sedang janggut, kumis, ketiak dan ari-ari tidak ada rambut, tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. enam puluh hasta, usianya bagaikan Nabi Isa a.s 33 tahun, putih rupanya, hijau pakaiannya, dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: “Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh orang itu sekuatnya.”


“Jari-jemari ini bersaksi di atas papan kekunci agar aku berkata kepada diri sendiri, sebelum orang lain”

~Sumber:
Blog saudara Akmal Hakim Abdul Khaliq,
senikehidupan.wordpress.com

Comments
0 Comments

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP