09 December 2010

Kisah Kucing

Alkisah diceritakan, di sebuah gerai makan bernama "Al-Dukhan" di tengah kesibukan kota Baghdad, terdapat dua ekor kucing baka Parsi yang berkeliaran mencari rezeki di kawasan gerai makan itu. Seekor kucing bernama Kuc dan seekor lagi bernama Cing.

Arakian, pada suatu hari, datanglah 2 orang pelanggan yang datang untuk menjamu selera di gerai makan Al-Dukhan. Masing-masing daripada mereka membeli seekor ikan goreng yang dijual di gerai makan tersebut.

Seperti biasa dan sebagaimana perangai kucing-kucing lain di seantero dunia, Kuc dan Cing mendekati kedua pelanggan tadi dan mengedik-gedikkan diri meminta belas ihsan pelanggan tadi untuk memberi makanan kepada mereka.

Kuc yang mendekati pelanggan pertama bernasib baik apabila pelanggan tersebut menghadiahkannya seekor ikan goreng tersebut. Kuc dengan senang hati memakannya di sisi pelanggan pertama tersebut.

Cing pula yang mendekati pelanggan kedua kurang bernasib baik kerana pelanggan kedua adalah seorang yang sangat kedekut dan bakhil. Lantas Cing mengambil keputusan untuk mencuri ikan goreng pelanggan kedua itu dan membawanya lari jauh ke tempat lain.

Kuc makan dengan tenang di khayalak umum, manakala Cing merasa susah hati semasa makan, takut-takut dinampak oleh orang lain yang dia sudah mencuri ikan goreng pelanggan di Al-Dukhan.

Gambar hiasan. Tiada kena mengena dengan mana-mana kucing, baik yang hidup ataupun yang telah tiada.
_______________________________________________________________

Begitulah fitrah bagi kucing-kucing di seluruh pelosok dunia. Bukan hanya kucing di kota Baghdad, bukan hanya Kuc dan Cing, bahkan seluruh kucing di serata dunia akan berperangai sedemikian. Makan dengan tenang jika diberi, dan melarikan diri takut dilihat jika mencuri.

Daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata :
Aku telah menemui Rasulullah S.A.W. lalu baginda bersabda : "Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan?" Aku berkata : "Ya." Baginda bersabda : "Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hatimu merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu."
(Riwayat Ahmad dan ad-Daarimie)

Jadi, sebagaimana kucing, begitulah juga manusia. Adakah kita tergolong seperti Kuc yang merasa tenang dengan dirinya, atau Cing yang tergetar dan teragak-agak dengan dosanya, atau lebih hina dari itu dengan tenang walaupun tenggelam dilautan dosa?

Tepuk dada, tanya iman.

Ayuh jadi Kuc! Jangan jadi Cing! Elakkan dosa kering!

Comments
3 Comments

3 komen:

ummu uswah 13 December, 2010 15:21  

ARTIKEL YANG MENARIK DAN MENGAJAK KITA MENILAI DIRI SENDIRI.

Mohd Eqwan Bin Mohd Roslan 22 January, 2011 01:03  

Rasulullah berkata sedemikian kepada sahabat yang boleh dikatakan sebegitu?

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi 03 February, 2011 02:49  

Eqwan -->

Apakah maknanya? Adakah nta bermaksud umat Islam skrg tak semua yg boleh disuruh minta fatwa daripada hatinya kan?

ehehe.ana setuju jugak tuh.

itu pasal ana tulis lagi hina daripada Kuc dan Cing iaitu tenang dalam lautan dosa. :)

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP