Qasidah Buat Laila - 'Dakwah' versi Malaysia
Ketika sedang berada di rumah, saya tertarik dengan sebuah drama Astro Oasis bertajuk Qasidah Buat Laila. Masakan tidak, sekian lama drama-drama Malaysia bergelumang dengan dunia-dunia korporat, kisah hidup mat rempit dan bermacam-macam lagi, tiba-tiba ada sebuah drama yang menunjukkan hero drama Malaya, Fahrin Ahmad bersama dengan seorang wanita berpurdah. Ini terus menarik saya untuk menonton drama arahan Erma Fatima itu.
Qasidah Buat Laila di Astro Oasis |
Saya tidak berminat untuk bercerita tentang drama ini. Tambahan lagi drama ini merupakan drama bersiri yang bersambung-sambung. Saya cuba untuk menerima cara berdakwah yang digunapakai oleh drama tersebut, dengan menampilkan Fifi sebagai seorang wanita yang cukup baik, solehah dan bermacam-macam lagi, membuatkan lelaki tertarik. Saya juga cuba untuk menerima drama itu sebagai sebuah drama dakwah walaupun ada beberapa benda yang tidak selari dengan syariat Islam, tetapi diketengahkan sebagai Islamik dalam drama tersebut. Sebagai contoh,ketika mana Fifi dan Fahrin berdua-duaan di perkarangan rumah ketika mana ibu bapa mereka berjumpa dan bersembang di dalam rumah. Dengan selambanya adik kepada Fiif mengatakan time's up, seolah-olah situasi itu dibolehkan untuk suasana yang sekejap. Walaubagaimanapun, situasi ini jauh lebih baik berbanding drama-drama Melayu yang lain. Jauh lebih baik berbanding babak bersama di dalam bilik ataupun lain-lain tempat.
Namun, yang membuatkan saya kecewa, adalah babak-babak di kelab malam, yang bagi saya tiada nilai untuk diketengahkan. Hal ini terus membuatkan saya terfikir, adakah drama/filem dakwah Malaysia, perlu mengenengahkan keburukan-keburukan di kalangan masyarakat kita, sebelum sesuai menjadi drama/filem dakwah?
Hal sama berlaku sebelum ini dalam filem dakwah tempatan, Syurga Cinta. Babak-babak di kelab malam, wanita-wanita seksi, diperagakan di dalam filem itu, bersama-sama watak wanita solehah. Baru-baru ini, filem dakwah kedua Ahmad Idham, Aku Masih Dara juga mengenengahkan konsep yang sama. Boleh baca tentang filem ini di blog kawan sekolah saya yang telah menonton filem tersebut, Yusoff Abd Rahman. Babak-babak di kelab malam, wanita seksi, seperti satu tarikan seksual untuk menarik penonton melihatnya.
Dan hal yang sama berulang lagi dalam drama ini. Bahkan bagi saya lebih menjengkelkan. Satu babak menunjukkan wanita berpurdah, wanita berzikir, dan satu babak lagi menunjukkan wanita sedang menari dengan melampau di kelab malam. Di kala baru merasa ketenangan melihat drama di Malaysia dihiasi dengan wanita berpurdah, tiba-tiba terasa tercabut kornea mata melihat babak menjolok mata, dalam drama yang sama. Sehinggakan pihak Astro Oasis terpaksa meng'sensor'kan bahagian-bahagian tertentu, kononnya untuk menjaga pandangan orang yang menonton siaran mereka.
Saya faham, itu adalah realiti muda-mudi kita. Namun adakah kesemua muda-mudi kita selalu sangat berkelab malam seperti itu? Sehingga menjadi seperti satu kewajipan mengenengahkan babak-babak itu dalam sebuah filem/drama dakwah.
Bukan saya ingin memuja, tetapi lihatlah bagaimana filem dari Indonesia, Ayat-Ayat Cinta, juga sebuah filem berusurkan dakwah, mendapat sambutan yang sangat-sangat menggalakan, tanpa perlu membongkarkan masalah-masalah sosial, mahupun menggunakan unsur-unsur seksual sebagai penarik. Juga filem Ketika Cinta Bertasbih, dan drama bersirinya. Tidak perlu menyelang-nyelikan babak antara babak Islamik dan babak-babak ranjang.
Owh, hampir terlupa. Tidak semua drama dakwah Malaysia seperti itu. Bahkan sebelum ini kita berjaya menghasilkan drama bersiri yang sangat baik iaitu Cinta Madinah. Garapan situasi di Madinah, membuatkan drama tersebut sangat menarik dan baik untuk ditonton.
Pelakon utama Cinta Madinah satu ketika dahulu - Wardina Safiyyah |
Korban
Antara Dua
Keputusan
~Boleh baca blog Fifi tentang drama lakonannya, di sini.